Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENDEKATAN ZALIM KKM BAKAL UNDANG PADAH – PPIM – MAJORITI – 16/12/2021
18 Dec 2021

TINDAKAN kerajaan meminda Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) disifatkan sebagai keterlaluan, tegas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Dalam satu kenyataan pada Khamis, PPIM berkata, cadangan pindaan itu akan memberi peruntukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menaikkan denda salah laku.

Di bawah akta yang bakal dipinda ini, katanya, denda terhadap mana-mana kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka atau tidak mengamalkan penjarakan sosial, pelanggaran perintah kuarantin serta terlibat dalam acara-acara yang dilarang, yang melibatkan perkumpulan orang ramai dan sesak.

“Di bawah pindaan ini, KKM meminda agar bagi individu yang melanggar perintah di bawah akta ini, dendanya akan dinaikkan dari RM1,000 kepada RM100,000 manakala bagi syarikat korporat sehingga RM2 juta,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa memberitahu, cadangan lima peruntukan baharu dan lima pindaan dalam RUU Akta 342 bakal memastikan kesinambungan penguatkuasaan peruntukan mengikut Ordinan Darurat sebelum ini.

Katanya, apabila diluluskan Dewan Rakyat kelak, ia antara lain menyaksikan penurunan kuasa untuk pelaksanaan penguatkuasaan, peruntukan mengenakan tindakan terhadap pertubuhan perbadanan serta penalti am terhadap individu dan pertubuhan perbadanan.

Mengambil serius perkara itu, PPIM berkata, pindaan akta berkenaan bakal memberi impak besar kepada rakyat yang baru sahaja mampu menghela nafas lega setelah hampir semua aktiviti dibuka.

Katanya, kegiatan ekonomi yang membolehkan sebahagian besar rakyat menyesuaikan norma baharu ini akan menghimpit kembali keadaaan mereka.

“Sebagai manusia biasa, dalam keadaan tertentu, pelanggaran undang-undang itu akan berlaku juga, sama ada sengaja atau tidak disengajakan, atau berada dalam keadaan terpaksa.

“Jika pihak penguat kuasa gagal menggunakan pertimbangan yang wajar dan bersikap mencari-cari kesalahan orang, maka ramai yang bakal berdepan masalah bila ianya dilaksanakan,” katanya.

Justeru, PPIM menyeru kerajaan supaya tidak mengambil pendekatan yang disifatkan berbaur ‘draconian’ itu yang sekali gus bakal mengundang padah.

“Sebaliknya mereka perlu lebih mengambil langkah mendidik rakyat dengan bijaksana,” jelasnya.

Artikel oleh: Majoriti

PENDEKATAN ZALIM KKM BAKAL UNDANG PADAH – PPIM

https://majoriti.com.my/berita/2021/12/16/pendekatan-zalim-kkm-bakal-undang-padah–ppim