Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican berkata, sumbangan itu bagi membantu keluarga yang daif dan miskin untuk mendapatkan bekalan air bersih di kawasan berkenaan.
“Rata-rata penduduk adalah petani yang mengambil upah menoreh getah, menanam gajus dan ubi, jadi sukar untuk mereka mendapatkan air bersih serta banyak bergantung kepada air sungai dan hujan.
“Kanak-kanak berhadapan dengan pelbagai penyakit kerana minum air yang tidak dimasak manakala air telaga milik persendirian pula dijual dengan harga yang tinggi untuk satu baldi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mustapha memberitahu, pembinaan perigi itu dapat membantu hampir 30 keluarga Islam dan 10 keluarga bukan Islam yang tinggal di kawasan pergunungan tersebut.
“Selain dapat memupuk perpaduan, pembinaan perigi tersebut diharapkan boleh membantu ekonomi penduduk tempatan dengan aktiviti bercucuk tanam dan hasil itu dijual kepada pembeli di luar kampung,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, keperluan asas seperti beras turut disumbangkan kepada penduduk kampung untuk membantu mereka. -UTUSAN ONLINE.