Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENGELUARAN KHAS KWSP JADI ALASAN NAIKKAN HARGA – UTUSAN MALAYSIA – 14/04/2022
14 Apr 2022

PETALING JAYA: Kenaikan harga barang keperluan menjelang Aidilfitri akan sampai kepada satu angka tidak munasabah kerana dibayangi dengan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP KL), Samsudi Mohd Fauzi berkata, pengeluaran tersebut menyebabkan ada pihak peniaga akan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan kerana mengetahui rakyat ketika itu mempunyai duit.

Menurut beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu bertindak lebih serius iaitu dengan mengenal pasti peniaga-peniaga yang menaikan harga sesuka hati sebagai ‘sabotaj makanan’.

“Melalui pemantauan kami terutama pada Ramadan ini, peniaga di bazar datangnya bermusim iaitu hanya datang apabila bulan puasa dan ada segelintir mereka tidak bertanggungjawab menaikan harga dengan sesuka hati dengan hasrat mahu jadi ‘jutawan sebulan’.

“Ada kuih-muih yang dijual pada harga tidak munasabah, lepas habis Ramadan mereka pergi tetapi meninggalkan kesan dengan harga mahal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid mengakui harga barangan keperluan bakal naik disebabkan beberapa faktor, antaranya masalah Covid-19, pengangkutan, penukaran mata wang asing, perang Ukraine-Rusia dan banjir.

Perkara itu turut diakui Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang menegaskan, kementerian perlu mengambil tindakan kepada individu yang monopoli pasaran harga.

“Ini setiap kali puasa harga melambung-lambung walaupun barangan berkenaan tidak sepatutnya naik harga. Contohnya anak ayam, tiga empat bulan dulu harga berapa sen sahaja tetapi hari ini seekor hingga RM3 ke RM4.

“Kerajaan perlu mengikut rentetan itu, cari siapa yang naikkan harga supaya tindakan boleh diambil, jika tidak sesuka mereka sahaja menaikkan harga setiap kali bulan puasa dan raya untuk mengambil keuntungan melampau yang saya fikir ia tidak masuk akal,” jelasnya.

Tambahnya, rakyat juga perlu sedar dan menggunakan hak mereka sebagai pengguna bukan tetap beli walaupun diasak dengan kenaikan harga drastik.

Dalam pada itu, kenaikan harga barangan keperluan harian meningkat sebanyak lima hingga 10 peratus, walau bagaimanapun ia masih dianggap sebagai satu kenaikan yang munasabah atas beberapa faktor.

Menerusi tinjauan Utusan Malaysia di aplikasi Price Catcher naungan KPDNHEP mendapati harga ayam bersih adalah RM9.50 sekilogram dan daging pula pada masa kini boleh didapati dengan RM69.90 untuk sekilogram. – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

PENGELUARAN KHAS KWSP JADI ALASAN NAIKKAN HARGA

https://www.utusan.com.my/berita/2022/04/pengeluaran-khas-kwsp-jadi-alasan-naikkan-harga/