MODUL Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi tepat dengan keperluan semasa dan masa depan negara untuk memupuk kesederhanaan dalam kalangan generasi muda Muslim, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Presiden Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, maka pengenalan modul itu yang hanya untuk pelajar beragama Islam dan tidak harus dipolemikkan.
“Ini sekaligus dapat membasmi fahaman melampau dalam beragama daripada berleluasa di negara ini kerana ia tidak disandarkan pada apa-apa autoriti agama yang kukuh.
“Dengan penerapan modul himpunan hadis 40 Imam Nawawi ini secara langsung dapat menjadi kunci untuk memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini dapat terus dipelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Modul itu akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.
Dibangunkan atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, modul itu dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 19 Ogos lalu dan bertujuan memupuk nilai-nilai sabda atau hadis Nabi Muhammad di peringkat sekolah.
Laporan Bernama tentang pelancaran itu tidak menyatakan jika modul ini untuk pelajar Islam sahaja.
Susulan itu, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) menyatakan “kebimbangan mendalam” terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari modul itu juga.
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan hari ini menjelaskan ia akan diajar kepada pelajar Islam sahaja.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengingatkan kumpulan bukan Islam agar tidak campur urusan umat Islam.
Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan berkata tindakan MCCBCHST membantah keputusan memperkenalkan subjek berkaitan hadis di sekolah adalah biadab dan mencabar umat Islam.
“Apa kaitan pendidikan hadis untuk pelajar beragama Islam dengan kamu, bukanlah kerajaan memaksa pelajar bukan Islam menduduki pengajian itu,” katanya.-Malaysiapost
Artikel oleh: Malaysia Post
PENGENALAN MODUL HADIS 40 TEPAT PADA MASA
https://malaysiapost.com.my/2023/08/24/pengenalan-modul-hadis-40-tepat-pada-masa/