Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENGGUNA DIMINTA LAPOR KEPADA KPDNKK, PENGUAT KUASA PERLU MEMANTAU – UTUSAN MALAYSIA – 29/5/2017
29 May 2017

UTUSAN MALAYSIA 29.5.2017

Kuala lumpur 28 Mei – pengguna diminta melaporkan kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekiranya terdapat peniaga mengambil kesempatan dengan menjual juadah berbuka puasa pada harga yang terlalu mahal di bazar Ramadhan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Yusof Abdul Rahman berkata, pengguna perlu mengetahui dan menggunakan kuasa mereka agar tidak mudah diperdayakan oleh peniaga yang tidak bertanggunjawab.

” Pengguna boleh membuat aduan kepada KPDNKK dan pada masa yang sama, kita harap KPDNKK juga akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap peniaga berkenaan jika didapati bersalah.

” Dalam mencari rezeki, para peniaga sepatutnya tidak terlalu mementingkan keuntungan dan mengambil kesempatan pada bulan yang mulia ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai isu harga makanan di bazar Ramadhan di ibu negara yang disifatkan terlalu mahal sehingga menimbulkan rasa kesal dalam kalangan pengguna.

Tinjauan Mingguan Malaysia di bazar Ramadhan Kampung Baru semalam mendapati rata-rata pengguna yang ditemui semasa membeli juadah berbuka puasa mengeluh dengan kenaikkan makanan yang dianggap tidak berpatutan.

Dalam pada itu, Presiden (Maconas), Datuk Amarjit Singh Gill pula berpandangan pihak berkuasa harus kerap membuat pemantauan di sekitar bazar Ramadhan di ibu kota agar tindakan tegas dapat diambil terhadap peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga juadah berbuka puasa.

” Malah, pengguna juga boleh tampil melaporkan kepada pengguna jika mendapati peniaga menaikkan harga makanan secara keterlaluan, katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna perlu memboikot dengan tidak membeli sekiranya juadah berbuka puasa itu mahal dan tidak berpatutan.

” Isu kenaikan harga juadah berbuka puasa sudah menjadi trend, malah saban tahun sama sahaja. Pengguna  gagal menggunakan kuasa untuk kawal harga barangan. Kalau di negara luar, contohnya, Jepun. sekiranya harga barangan naik, rakyat tidak akan membeli.

” Jadi, kena ada pemerkasaan pengguna juga, jika pengguna rasa harga juadah berbuka puasa itu sangat sangat melampau, lebih baik jangan membeli, bila kita ikut sahaja (kenaikan harga), maka harga akan berterusan naik. Ini sebagai peringatan kepada peniaga yang tidak beretika dalam menentukan harga jualan mereka,” katanya.