Perkara itu disuarakan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang sedar apa diperkatakan beliau mungkin tidak disukai oleh segelintir rakyat, namun menegaskan perkara itu merupakan antara langkah terbaik menangani isu berkenaan.
“Setiap tahun akan lebih mencabar, tidak terkecuali tahun 2018 tetapi soalnya sama ada kita sebagai pengguna bersedia atau tidak? Kita tidak boleh lagi harap pihak lain atau kerajaan untuk menjadi pelindung.
“Kerajaan sendiri mengakui bahawa era kerajaan tahu semua benda telah berakhir. Jadi kuasa pengguna perlu diperkasakan, pengguna perlu bangkit daripada tidur, main peranan dan suarakan isu-isu kepenggunaan untuk menangani kenaikan harga barang yang menyebabkan kos sara hidup meningkat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman menjangkakan tahun 2018 berkemungkinan ‘menawarkan’ sedikit kelegaan berbanding tahun 2017 kepada pengguna dengan pelbagai insentif membantu rakyat diperkenalkan kerajaan menerusi Bajet 2018.
Beliau bagaimanapun memberi fokus kepada satu isu iaitu mencadangkan kerajaan mengkaji mekanisme untuk menetapkan kadar harga minyak.
“Ketika ini, harga berada di bawah paras RM2.30, saya fikir, tekanan tidak begitu tinggi kepada rakyat, tetapi apa jadi sekiranya pada tahun depan kadarnya melepasi harga itu?” ujar beliau.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Malaysia (Maconas), Datuk Amarjit Singh Gill pula percaya kerajaan akan cuba sedaya upaya membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat menerusi pelbagai pengumuman pada pembentangan bajet Oktober lalu.
Tetapi, Amarjit tidak menafikan dalam landskap ekonomi dunia yang mencabar ketika ini, berkemungkinan situasi tahun 2018 tidak akan banyak bezanya dengan tahun ini.