PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berwajib untuk menjalankan siasatan segera ke atas sebuah syarikat pajakan kereta sebagai pembelaan kepada semua mangsa.
Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM Yusuf Azmi berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia membabitkan jumlah kenderaan yang banyak selain wujud elemen ‘buat undang-undang sendiri’ dalam kes itu.
Katanya, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan, PPIM tidak mempunyai kuasa menceroboh ke premis, tetapi kehadiran aktivis ke sana bersama mangsa adalah untuk berunding sebelum berlaku sedikit kekecohan.
“Kita gesa pihak berwajib seperti polis dan bank bertindak sewajarnya. Pengguna hari ini pula perlu dibela kerana tidak ada badan yang tampil membantu mereka walaupun laporan polis sudah tiga kali dibuat.
“PPIM akan terus bekerjasama dengan siapa juga yang ingin membantu dalam kes ini. Mari sama-sama kita buat kerja untuk bantu sesiapa juga apatah lagi dalam kes ini membabitkan ratusan mangsa,” katanya.
Semalam, beliau bersama 23 mangsa menyerbu syarikat kereta terbabit untuk menuntut wang yang didakwa ditipu pemilik syarikat menyebabkan berlaku kekecohan dan tular di media sosial.
Selanjutnya di https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/07/244081/pengguna-perlu-dibela