PENGGUNA disaran menjadi mata dan telinga buat pihak berkuasa bagi memantau sebarang kenaikan harga juadah oleh mana-mana peniaga di bazar Ramadan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna tidak boleh semata-mata mengharapkan pihak berkuasa melakukan pemantauan kerana mereka seharusnya bersama-sama menyalurkan maklumat bagi membolehkan tindakan dikenakan ke atas peniaga yang mengambil kesempatan sepanjang Ramadan ini.
Beliau berkata, peranan oleh pengguna dan masyarakat amat penting bagi memastikan mereka prihatin terhadap aspek persekitaran masing-masing.
“Walaupun kita tahu pihak berkuasa melaksanakan pemantauan, namun pengguna perlu main peranan untuk melaporkan sebarang tindakan yang tidak sewajarnya oleh peniaga khususnya pada bulan Ramadan ini,” katanya.
Nadzim mengakui pihaknya ada menerima aduan mengenai kenaikan harga juadah di bazar Ramadan namun laporan itu dibuat secara tidak rasmi oleh pengadu.
Katanya, kebanyakan masyarakat masih belum terbuka untuk membuat laporan mengenai perkara itu kerana menganggapnya sebagai sesuatu yang remeh.
“Kita di PPIM terbuka untuk menerima sebarang aduan mengenai tindakan peniaga yang menaikkan harga sesuka hati namun laporan serta maklumat haruslah diberi dengan tepat,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut mengingatkan pengguna agar sentiasa membuat pilihan terbaik sebelum membeli sebarang juadah di bazar Ramadan.
“Nilaikan daripada semua aspek sebelum beli. Contohnya adakah harga yang ditetapkan itu berbaloi atau tak dengan barangan yang akan kita dapat. Ini antara langkah yang pengguna dapat gunapakai,”katanya.
Artikel oleh : Sinar Harian
PENGGUNA PERLU JADI MATA, TELINGA PIHAK BERKUASA