KUALA LUMPUR 7Okt. – Masyarakat Pengguna hanya mengharapkan sistem percukaian yang lebih berkesan yang membawa kesan positif dan perubahan kepada rakyat dan negara, kata Datuk Nadzim Johan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu memberitahu, persatuan-persatuan pengguna menyambut baik cukai baharu yang akan diperkenalkan kerajaan dan itulah diharapkan.
“Namun kerajaan perlu peka dan prihatin dengan apa yang berlaku. Kaedah lama atau sistem percukaian yang tidak adil hanya menyebabkan orang (rakyat) menjadi marah dan sakit hati.
“Yang kaya pula ‘kadang’ tidak membayar cukai yang sepatutnya mereka bayar,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.
Tambah Nadzim, kerajaan perlu mewujudkan kaedah ganjaran kepada pembayar cukai bagi menarik mereka untuk melunaskan tanggungjawab yang sepatutnya.
“Hal ini bagi mengelakkan mereka yang sewenang-wenangnya ‘mempergunakan’ perolehan atau hasil di negara ini namun gaji pekerja dibayar oleh syarikat antarabangsa.
“Itu antara taktik atau cara mereka untuk melarikan diri dari membayar cukai,” katanya.
Bagi Timbalan Presiden Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED), Ahmad Zakir Abdul Rahman, golongan usahawan perlu diyakinkan dengan pelan ekonomi yang strategik dan memberi manfaat, bukan tindakan tergesa-gesa seperti cukai baharu bagi membantu ekonomi negara.
“Sangat berbeza sekali kerajaan baharu sebelum dan selepas memerintah. Janji-janji kerajaan sebelum ini adalah untuk membantu bagi meringankan beban dan kos sara hidup rakyat namun kini dilihat terlalu terdesak.
“Pelbagai cukai diperkenalkan termasuklah ingin membawa kembali cukai barang dan perkhidmatan (GST),” katanya. – UTUSAN ONLINE
Artikel oleh: Utusan
PENGGUNA, USAHAWAN HARAP SISTEM CUKAI BAHARU LEBIH BERKESAN