2556) Penguasaan Ekonomi Umat Islam Lemah, PPIM Anjur Seminar Rahsia Kejayaan Berniaga
14 Apr 2015
BIMBANG dengan kelemahan penguasaan ekonomi umat Islam hari ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kerjasama MentorNiaga.com bertindak menganjurkan ‘Seminar Rahsia Kejayaan Berniaga’ bertempat di Universiti Islam Antarabangsa, pada 11 April yang lalu.
Seminar yang menampilkan dua tokoh usahawan iaitu Pengarah Urusan Media Karangkraf, Dato Dr. Husamuddin dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin turut disertai Ketua Aktivis PPIM, Dato Paduka Nadzim Johan, Tuan Mizam Mishar dan Ustaz Pahrol yang turut bertindak sebagai ahli panel.
Selain berkongsi rahsia untuk menjadi peniaga yang berjaya, seminar yang berjaya menarik hampir 200 hadirin turut membicarakan isu-isu mengenai kelemahan peniaga Bumiputera dalam bersaing dengan golongan bukan bumiputera.
Menurut Pengarah Urusan Media Karangkraf, Dato Husamuddin, kebanyakkan orang muda tidak memilih untuk menjadi peniaga kerana takut gagal. Malah minat untuk berniaga tidak dipupuk dari kecil kerana untuk menjadi peniaga yang berjaya seseorang perlu ada keazaman yang tinggi.
“Kebanyakkan orang kita (Melayu Islam) terutama golongan muda hari ini takut untuk mengambil risiko. Selain itu, minat tidak dipupuk dari awal menyebabkan ramai graduan dalam bidang perniagaan sendiri tidak memilih untuk menjadi peniaga sebaik tamat pengajian.”
“Malah untuk menjadi seorang peniaga yang berjaya, mereka bukan sahaja harus bijak menjual, tetapi harus bijak membeli.” katanya.
|
Dato Husamuddin, Pengarah Urusan Media Karangkraf berkongsi kejayaan beliau bersama hadirin |
Bagi Datuk Seri Syed Zainal yang berkongsi pengalaman beliau sepanjang menerajui Proton pula berkata, tiada kemahuan untuk memerdekakan ekonomi antara sebab umat Islam masih ketinggalan dalam bidang ekonomi.
“Tiada kemahuan untuk memerdekan ekonomi, tidak mahu berubah dan sering menyalahkan orang lain sebab orang kita gagal bersaing dengan peniaga bukan bumiputera” katanya.
|
Datuk Seri Syed Zainal, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton. |
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Dato Paduka Nadzim Johan yang berkongsi pengalaman beliau mendakwa orang Melayu terlalu lemah dan tiada kualiti kerana masyarakat hari ini tidak diberi didikan mengenai perkara yang membawa kebaikkan.
“Asas kelemahan orang Melayu adalah masyarakat kita tidak didik dengan kebaikkan, contohnya rancangan TV kita terlalu banyak hiburan. Tiada rancangan yang bersifat memberi pendidikan, memberi kesedaran”
“Inilah yang menyebabkan masyarakat kita hari ini tiada kualiti, lemah dan dipandang rendah oleh golongan bukan bumiputera” – katanya.
|
Dato Paduka Nadzim Johan, Ketua Aktivis PPIM (kanan) |
Sepanjang sehari seminar, hadirin yang terdiri daripada mahasiswa dan peniaga kecil dilihat berpuas hati dengan segala pengisian yang dikongsikan ahli panel bersama mereka. Malah mereka turut berharap program demikian lebih kerap dianjurkan.
Selain mendapat tips daripada tokoh perniagaan yang telah berjaya, mereka berpuas hati kerana seminar tersebut turut mengupas tentang perniagaan mengikut konsep yang dituntut oleh agama Islam. – PPIM
Post Views: 187