KUALA LUMPUR – Penggunaan produk berasaskan ganja yang diimport perlu diberi peluang diterima secara terbuka bagi tujuan perubatan, kata ketua aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Katanya, kerajaan mahupun pihak terlibat perlu bersifat lebih terbuka untuk menggunakan ganja bagi tujuan rawatan memandangkan sudah banyak kajian klinikal dijalankan sama ada di dalam makmal perubatan tempatan dan antarabangsa.
“Cuma, kita perlu lebih meneliti sejauh mana penggunaan itu dikawal dan mempelbagaikan lagi kajian klinikal atau penyelidikan berkaitan tumbuhan tersebut untuk digunakan sebagai kaedah perubatan alternatif.
“Menjadi satu kerugian jika ada kaedah alternatif termasuk tumbuhan itu (tetapi) tidak dimanfaatkan sebaiknya sekiranya ia terbukti mampu merawat pelbagai penyakit termasuk kanser dan penyakit saraf,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata selain mempelbagaikan jenis kaedah perubatan, produk berasaskan ganja juga dilihat mampu mengurangkan kos rawatan memandangkan ia mudah dan boleh ditanam secara komersial, selaras dengan peruntukan undang-undang berkaitan tanaman terkawal sedia ada.
“Kita sedia maklum kos perubatan terutama kanser sangat tinggi dan membebankan pesakit. Jadi, jika wujud alternatif lain, mungkin ia dapat membantu mereka ini dan sekarang paling diterima pakai adalah produk berasaskan ganja seperti mana yang dilakukan di negara luar termasuk Amerika Syarikat, Thailand dan Mexico,” katanya.
Semalam, melalui portal tempatan melaporkan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata produk berasaskan ganja bagi tujuan perubatan boleh diimport tetapi perlu mematuhi tiga syarat yang dikenakan kerajaan dan syarikat yang berbuat demikian perlu mendaftarkannya dengan Kementerian Kesihatan.
Dr Lee berkata, antara aspek yang diteliti kerajaan sebelum mengesahkan sesuatu produk sebagai ubat adalah ia selamat digunakan, terbukti berkesan dan maklumat kegunaan yang jelas.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah dilaporkan media sebagai berkata, pokok ganja boleh diusahakan bagi tujuan perubatan dan kajian, namun perlu memperoleh kebenaran Menteri Kesihatan. Menurutnya, terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan penanaman pokok ganja dengan syarat atau kebenaran khusus.
“Jadi saya rasa sayanglah kalau benda ini betul (ganja perubatan) dan boleh dilakukan dalam negara. Kalau kita tengok Akta Dadah Berbahaya, pokok ganja ini boleh diusahakan untuk tujuan perubatan,” kata Zulkifli. – Bernama
Artikel oleh : Sinar Harian
PENGUNAAN PRODUK BERASAS GANJA PERLU DIBERI PELUANG DALAM PERUBATAN