Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENGURUSAN TERMINAL KLIA2 SETUJU TIDAK AKTIFKAN PALANG AUTOMATIK – BERITA HARIAN – 23/10/2022
24 Oct 2022

Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia, Jose Rizal, berkata ia langkah penyelesaian jangka pendek yang dicapai hasil pertemuan pengurusan terminal bersama pihaknya dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

“Perjumpaan membincangkan isu caj tambahan RM2 dikenakan bagi setiap kemasukan ke petak mengambil penumpang e-hailing di Pintu 5, KLIA2 yang mula dikuatkuasakan Jumaat lalu.

“Pihak pengurusan terminal iaitu Malaysia Airports Holdings Berhad, WCT Malls Management SB, Segi Astana SB dan RA Consult Global Sdn Bhd (RACG Sdn Bhd) memberikan respon segera iaitu bersetuju tidak mengaktifkan penggunaan palang automatik ‘touch n go’ bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Bermula kelmarin, pengendali terminal klia2 membuat beberapa perubahan dalam peraturan pengambilan penumpang, menimbulkan rasa kesal dalam kalangan pemandu e-hailing.

Dalam memo yang dikeluarkan Khamis oleh RACG Sdn Bhd selaku pengendali, antara perubahan yang dilakukan ialah penggunaan sistem ‘Touch n Go’ mengehadkan masa menunggu dan mengenakan caj tambahan.

Caj tambahan RM2 dikenakan bagi setiap kemasukan ke petak mengambil penumpang di Pintu 5.

Memo itu juga menyatakan semua kenderaan e-hailing perlu membuat pusingan semula apabila tempoh masa yang diberikan tamat, dan pemandu perlu memastikan baki sekurang-kurangnya RM20 dalam kad Touch n’ Go mereka.

Jose berkata, susulan pertemuan itu, semua pihak berbincang dan bertukar pandangan berkenaan penyelesaian terbaik.

“Pelbagai isu dan cadangan penyelesaian diberikan dan tindakan susulan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Dalam pada itu, kami berterima kasih kepada pengurusan terminal yang mengambil langkah tuntas dan tepat dengan mendengar rintihan pengguna dan pemandu eHailing Malaysia,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

PENGURUSAN TERMINAL KLIA2 SETUJU TIDAK AKTIFKAN PALANG AUTOMATIK

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/10/1015782/pengurusan-terminal-klia2-setuju-tidak-aktifkan-palang-automatik