KUALA LUMPUR, 28 Januari 2022 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) terkejut apabila dimaklumkan bahawa sebuah syarikat cruise, Genting Hong Kong telah diisytihar bankrap berikutan tidak boleh meneruskan perniagaan akibat pandemik COVID-19. Kesan yang ditinggalkan dari kebangkrapan ini melibatkan tiga bank milik Malaysia iaitu Maybank, CIMB dan RHB.
Ketiga-tiga bank ini telah memberikan pinjaman tanpa cagaran yang berjumlah RM2.51 bilion atau USD600 juta.
Apa yang menjadi persoalan sekarang, ketiga-tiga bank ini adalah bank di mana para pemegang sahamnya adalah kumpulan permodalan rakyat Malaysia yang terbesar iaitu, KWSP, KWAP, PNB dan TH. Kami berharap persoalan ini dapat diberikan penjelasan kepada rakyat yang banyak mengadu kepada PPIM.
Nampaknya bank-bank ini lebih gemar memberi pinjaman kepada konglomerat besar daripada memberikan pinjaman kecil-kecilan kepada peniaga kecil tempatan.
Peniaga kecil yang ingin memohon pinjaman sekecil-kecil akan diminta untuk mengemukakan cagaran, tetapi pihak konglomerat seperti Genting HK dan lain-lain diberikan pinjaman tanpa cagaran begitu sahaja.
Inilah sikap bank yang begitu memandang serong terhadap peniaga di negara sendiri dan ‘menyanjung’ jerung-jerung besar antarabangsa.
Janganlah peristiwa ini berulang seperti isu RM2.4b BMF yang melibatkan George Carrian pada awal tahun 80-an dulu.
Menteri Kewangan harus mengambil tanggungjawab dalam tragedi kewangan ini dan memikirkan cara untuk mendapatkan semula pinjaman tersebut yang pasti menjejaskan wang simpanan hari tua dan modal pelaburan rakyat negara ini. Ianya seolah-olah kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan.
Artikel oleh: Samudera.my
PENIAGA KECIL BANK MAHU CAGARAN, TAPI GENTING HK YANG BANKRAP TAK PAYAH – PPIM