KUALA LUMPUR – Kekesalan para peniaga di bazar Ramadan dan Aidilfitri yang diarahkan menutup perniagaan masing-masing ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) adalah sesuatu yang wajar diambil perhatian oleh kerajaan.
Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, sememangnya baik untuk para peniaga melahirkan rasa marah mereka kepada kerajaan kerana ia dibuat tanpa kajian dan tergesa-gesa.
“Mereka terpaksa pinjam duit malah gadai segala yang mereka ada dan bersedia untuk berniaga tetapi tiba-tiba tidak boleh berniaga pula.
“Saya rasa kita tidak boleh benarkan rakyat kita menghadapi kesukaran, ini boleh dielakkan. Kita harap kerajaan serius dan melihat sebelum ini perkara ini terjadi.
“Saya pohon kepada pihak berkuasa untuk mengkaji dan mungkin ada pendekatan lain sebab perintah kawalan ini sudah setahun dilaksanakan, saya yakin ada kaedah lain,” katanya pada sidang media hari ini.
Nadzim berkata demikan ketika ditanya mengenai video tular peniaga marah kepada kerajaan yang bertindak menutup bazar Ramadan dan Aidilfitri.
Video berdurasi 1 minit 51 saat itu rata-rata memaparkan seorang peniaga wanita di Lorong Tuanku Abdul Rahman berang dengan tindakan kerajaan yang bertindak memberikan arahan untuk menutup bazar Ramadan.
Dakwa mereka mengikut jadual serta apa yang dimaklumkan melalui notis dan media sebelum ini, bazar berkenaan hanya akan ditutup pada Isnin dan mereka tidak dibenarkan untuk berniaga pada Ahad.
Justeru itu, Nadzim menggesa kerajaan lebih prihatin kepada nasib peniaga-peniaga yang turut terkesan dengan penularan Covid-19.
Katanya, pihak berwajib perlu lebih peka dengan tekanan ekonomi yang menghimpit para peniaga kini.
“Saya menyeru mereka yang menguruskan segala SOP dan perintah kawalan ini supaya lebih prihatin dan tidak boleh buat undang-undang yang tidak berapa pasti lagi.
“Bila sesuatu terjadi, buat undang-undang lain. Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ada perancangan, jadi kita kena keluar daripada kelemahan ini sebab dalam konteks barang-barang ini kita kesian dengan mereka yang mencari kehidupan untuk berniaga,” katanya lagi.
Artikel oleh: Malaysia Gazette
PENIAGA WAJAR MARAH KERAJAAN EKORAN KEPUTUSAN TERGESA-GESA TUTUP BAZAR – NADZIM