Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENIPUAN PEKERJAAN MAKIN BERLELUASA DI MEDIA SOSIAL – KOSMO – 19/03/2022
23 Mar 2022

PETALING JAYA – Lambakan iklan pekerjaan di media sosial membuka ruang kepada pelbagai pihak menggunakan platform tersebut untuk menjalankan penipuan termasuk mengiklankan pekerjaan tidak wujud.

Isu ini turut menjadi barah kepada golongan pencari kerja apabila ada agensi pekerjaan mengambil kesempatan me­nyasarkan graduan muda dengan menawarkan kerja berbeza dalam iklan yang ditawarkan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan membabitkan iklan pekerjaan yang tidak sama dengan tawaran kerja.

“Banyak aduan yang kita terima yang mana iklan pekerjaan kononnya menawarkan gaji tinggi, namun tawaran diperoleh adalah sebaliknya dan tidak berkaitan dengan skop kerja.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

“Tujuan sesetengah pihak melakukan aktiviti itu untuk memperdaya pencari kerja, malah ada kes graduan muda ditipu dengan membuat bayaran pendahuluan kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita menerima aduan daripada mangsa ditawarkan pekerjaan dikatakan di luar negara, tetapi gaji ditolak sehingga 50 peratus seterusnya menyukarkan mang­sa untuk membayar komitmen lain,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.

Jelasnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu berganding bahu bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi melaksanakan satu sistem pusat untuk menapis kesemua iklan pekerjaan di media sosial.

“Kesemua iklan sedemikian seharusnya mendapat kelulusan daripada pihak berwajib supaya mereka tidak berani mengambil kesempatan mengiklankan tawaran pekerjaan yang tidak sepatutnya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bahagian Pengambilan dan Sumber Manusia, Prospect Outsourcing Sdn. Bhd., Zetty Zakaria berkata, kebanyakan syarikat tertentu melakukan penipuan dengan mengiklankan jawatan menggunakan nama syarikat terkemuka, namun hakikatnya ia hanyalah tipu helah.

“Ini kerana asas pengambilan pekerja itu sama seperti pemasaran, kita mesti mengiklankan sesuatu yang boleh menarik minat calon, tetapi dari segi etika pula, ia bergantung kepada syarikat pekerjaan itu sendiri.

“Jumlah syarikat yang menggunakan taktik kotor itu sangat banyak, ini merupakan perkara yang sangat tidak beretika ke­rana mereka mengelirukan calon yang berminat terhadap satu-satu jawatan,” katanya.

Artikel oleh: Kosmo

PENIPUAN PEKERJAAN MAKIN BERLELUASA DI MEDIA SOSIAL

https://www.kosmo.com.my/2022/03/19/penipuan-pekerjaan-makin-berleluasa-di-media-sosial/