Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENJUALAN, AKTIVITI BERMAIN MERCUN SEMAKIN BERLELUASA, DI MANA SILAPNYA? – GETARAN – 07/05/2022
10 May 2022

KUALA LUMPUR – Menjelang apa jua perayaan di negara ini, dentuman mercun pasti kedengaran, malah aktiviti bermain bahan letupan itu seolah-olah menjadi satu kelaziman dan ‘pelengkap suasana’ walaupun ia adalah kesalahan, seperti termaktub dalam undang-undang Malaysia.

Jika dilihat kepada peruntukan undang-undang, perbuatan memiliki, menjual atau membeli mercun boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Akta tersebut jelas menyatakan bahawa sekiranya disabit kesalahan berkenaan, pelaku boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, peruntukan itu seakan tidak menggentarkan dan memberi apa-apa kesan terhadap penjual serta pembeli mercun apabila ia masih dijual secara terbuka, malah bebas dimainkan di musim perayaan, termasuk Aidilfitri.

Nadzim Johan - Gambar Azim Abd Rahman
Nadzim Johan – Gambar Azim Abd Rahman

Mengulas aktiviti bermain mercun yang tetap berleluasa walaupun dikategorikan berbahaya dan sering mengakibatkan kecederaan parah kepada segelintir individu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berpendapat bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak tegas.

Katanya, bermain mercun bukan saja aktiviti merbahaya, malah tidak berfaedah kepada masyarakat.

Menurutnya, tindakan tegas harus diambil kepada penjual dan pembeli bagi menunjukkan keseriusan PDRM dalam menangani isu tersebut.

“Ia sememangnya sudah termaktub dalam undang-undang bahawa mercun ini adalah suatu kesalahan serius yang perlu ditangani supaya ia tidak terus dianggap kelaziman.

“Saban tahun kita ‘disajikan’ dengan berita bahawa mercun ini mendatangkan kecederaan, malah turut mengorbankan nyawa orang, jadi penguatkuasa perlulah serius menanganinya,” katanya kepada Getaran.

Nadzim berkata, selagi isu tersebut tidak ditangani dengan baik, selagi itulah ia akan terus ‘merosakkan’ masyarakat setiap kali menjelang perayaan di negara.

“Ibu bapa juga harus memainkan peranan untuk memantau anak-anak di rumah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Jika boleh laranglah mereka daripada terus menjadikan mercun sebagai ‘tradisi’ setiap kali musim perayaan kerana ia bukan sebahagian daripada warisan kita,” katanya.

Getaran sebelum ini melaporkan bahawa taktik ‘pengusaha’ mercun menjual bahan tersebut secara fizikal bukanlah sesuatu yang asing kepada masyarakat secara umum.

Kebiasaannya mereka akan membuka meja dengan mempamerkan bunga api diluluskan.

Sebaliknya, di ‘bawah meja’, mereka mempromosikan mercun terlarang kepada pelanggan dengan menunjukkan katalog koleksi dijual.

Dengan perkembangan arus teknologi masa kini juga, semakin merumitkan usaha pihak berkuasa membendung aktiviti itu, terutamanya PDRM apabila media sosial turut digunakan pengusaha mercun untuk melariskan jualan menerusi pasaran lebih meluas.

Di laman sosial, aplikasi WhatsApp adalah ‘port’ utama peniaga mercun mencari pelanggan dengan hanya menghantar katalog koleksi mercun dijual berserta harga.

Pelanggan kemudiannya akan membuat pembayaran melalui pemindahan secara dalam talian, seterusnya mercun dibeli dihantar secara kurier atau ‘cash on delivery’ (bayar ketika menerima barang).

Artikel oleh: Getaran

PENJUALAN, AKTIVITI BERMAIN MERCUN SEMAKIN BERLELUASA, DI MANA SILAPNYA?

https://www.getaran.my/artikel/semasa/23313/penjualan-aktiviti-bermain-mercun-semakin-berleluasa-di-mana-silapnya