Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENULIS BUKU DITAHAN POLIS KERANA MENGHINA NABI MUHAMMAD – BERITABENAR – 11/04/2022
12 Apr 2022

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis DiRaja Malaysia pada Isnin menahan seorang penulis buku di negara itu bagi membantu siasatan ke atas satu kenyataan berkaitan poligami yang dimuat naik ke laman media sosial Facebook miliknya yang didakwa menghina Nabi Muhammad .

Uthaya Sankar, 50, seorang lelaki berketurunan India, disiasat oleh polis di bawah satu peruntukan dalam Kanun Keseksaan mengenai kesalahan “menyebabkan suasana tidak harmoni” di atas alasan agama, demikian menurut Jabatan tersebut dalam satu kenyataan media.

Pengarah JSJ Abd Jalil Hassan berkata bahawa Uthaya juga sedang disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian komunikasi secara tidak wajar.

“Polis DiRaja Malaysia sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook ‘Uthaya Sankar SB’ kerana memuat naik hantaran yang berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW. Hantaran tersebut telah dimuatnaik pada 7 April 2022.

“Suspek adalah seorang lelaki berusia 50 tahun dan telah ditangkap dalam sebuah rumah di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor pada 11 April 2022 lebih kurang jam 11.15 pagi bagi membantu siasatan,” kata kenyataan Abd Jalil yang dikeluarkan oleh Ibupejabat Polis Bukit Aman.

Menurut beliau, kes Uthaya disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas JSJ di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana “menyebabkan di atas alasan agama suasana tidak harmoni atau perasaan permusuhan atau memudaratkan perpaduan”, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Seksyen 298A memperuntukkan hukuman penjara di antara dua tahun hingga lima tahun sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tidak lebih satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kata Abd Jalil, pihak polis turut merampas sebuah telefon pintar jenama iPhone berserta kad SIM daripada Uthaya, dan mereka akan membuat permohonan reman terhadap lelaki itu pada Selasa.

Pegawai polis itu turut menasihat orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, selain prihatin terhadap isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum, dan menjadi pengguna media sosial yang berhemah.

Berdasarkan posting di Facebook Uthaya sebelum ditahan polis pada pagi Isnin, penulis itu menyatakan bahawa dirinya dibawa ke Ibupejabat polis Bukit Aman kerana satu status mengenai isu poligami yang menyentuh Nabi Muhammad.

Semakan di ‘wall’ akaun Facebook itu mendapati bahawa Uthaya pada 7 April telah memuat naik kenyataan yang mendakwa bahawa Nabi Muhammad “memiliki kekuatan 30 lelaki” dan mampu menjalin hubungan seks “bersama hampir 9 isteri dengan sekali mandi”, dan mendakwa bahawa kenyataannya itu dipetik daripada satu hadis sahih.

Status Uthaya itu ditulis sebagai respon terhadap satu berita oleh media tempatan mengenai seorang artis lelaki yang menyatakan rasa menyesal kerana berpoligami, dan telah menceraikan dua orang isterinya pada 2019 dan tahun lepas.

Jangan ganggu keharmonian

Sementara itu, sebuah persatuan Islamik dalam satu kenyataan media susulan berita penangkapan Uthaya menggesa supaya tiada mana-mana pihak cuba mengganggu keharmonian rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Nadzim Johan menyifatkan tindakan Uthaya yang menulis mengenai hadis Nabi Muhammad tanpa memeriksa kesahihan dan kebenarannya adalah “tidak bijak”, dan menyatakan bahawa penulis tersebut sepatutnya lebih peka.

“Benar beliau ada hak bersuara namun bersuaralah dengan apa yang beliau yakin, pasti dan amalkan, beliau tidak mengamalkan agama Islam, apakah niatnya menulis kenyataan sebegitu yang saya yakin beliau tahu sangat sensitif dalam kalangan orang Islam di negara ini,” kata Nadzim.

Tambah beliau, Uthaya boleh berdebat dengan ilmuwan Islam di dalam ruang yang lebih sesuai sekiranya penulis itu benar mahu berdebat mengenai agama itu.

“Membuat kenyataan berkaitan agama dan Nabi Muhammad SAW, tanpa ada provokasi dari sesiapa atau mana-aman pihak seolah-olah Uthaya sengaja mencetuskan perbalahan antara kaum dan agama,” tambah Nadzim.

Artikel oleh: BeritaBenar

PENULIS BUKU DITAHAN POLIS KERANA MENGHINA NABI MUHAMMAD

https://www.benarnews.org/malay/berita/my-uthaya-tahan-220411-04112022155709.html