Toyota Camry dijual dengan harga semurah RM20,000 manakala BMW 7 Series ditawar pada harga RM45,000.
Itu antara tawaran ‘gila’ yang dimuat naik sebuah portal perniagaan atas talian terkenal di Malaysia bagi memperdayakan pelanggan untuk membeli kereta.
Tawaran itu dilakukan sindiket atau individu yang sengaja mahu mengaut wang mudah dengan meminta pelanggan membayar wang pendahuluan untuk menempah kereta diidamkan sebelum mereka melarikan diri.
Sebaik wang diberi, individu penipu itu menghilangkan diri dan menggunakan akaun lain di dalam portal yang sama untuk menipu orang lain.
Taktik itu didedahkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Persatuan Penjual Kereta Kuala Lumpur dan Selangor (FMC) selepas menerima ratusan aduan daripada individu kerugian ribuan ringgit.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, 11 aduan diterima setiap bulan sejak tahun lalu membabitkan penipuan jual beli kereta menggunakan platform terkenal itu.
“Aduan dikemukakan pengguna selepas kami menerima banyak rungutan iaitu 11 aduan setiap bulan yang mereka kerugian wang pendahuluan akibat terpedaya dengan tawaran kereta murah.
“Bayangkan harga kereta mempunyai nilai tinggi dijual pada kadar lebih rendah daripada pasaran dan lebih malang pengguna yang kebanyakan golongan pertengahan mudah tertipu,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di sini, semalam, bersama Presiden FMC Khoo Kah Jin.
Nadzim berkata, pihaknya menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menguatkuasakan undang-undang ke atas platform jualan atas talian terkenal itu bagi melindungi hak pengguna daripada terus ditipu.
“SKMM perlu melaksanakan tindakan seperti menyekat laman web atau platform dikesan disalah guna untuk penipuan supaya mereka lebih bertanggungjawab terhadap sebarang urus niaga menerusi talian mereka.
“SKMM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu ada mekanisme mengenal pasti maklumat peribadi penjual yang disahkan sebelum dibenarkan menggunakan platform atas talian berkenaan,” katanya.
Nadzim berkata, bukan saja penipuan jual beli kereta, PPIM merekodkan 30,000 aduan penipuan sejak tahun lalu membabitkan semua produk di portal itu dengan nilai kerugian jutaan ringgit dan yang paling tinggi dicatatkan penipuan jual beli telefon bimbit RM30 juta.
Sementara itu, Khoo berkata, pihaknya memaklumkan kepada portal itu untuk menurunkan mana-mana iklan yang jelas menipu pengguna disertakan dengan laporan polis namun tiada tindakan diambil.
“Tanpa penguatkuasaan, pemilik portal ini lepas tangan sebaliknya meminta pengguna bertanggungjawab mencari dan menangkap sendiri penipu berkenaan.
“Tindakan ini tidak adil buat pengguna dan pemilik portal sepatutnya bertanggungjawab dan mengawal perkara berkenaan dan bukannya lepas tangan semata-mata memperoleh keuntungan,” katanya.