SUNGAI PETANI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyampaikan sumbangan 50 kotak barangan makanan kepada mangsa tragedi kepala air pada program Jelajah Sumbangan Infaq Rezeki Utara 2021 di Gurun, di sini hari ini.
Ketua Cawangan Sumber Manusia Ibu Pejabat Perkeso, Mohd. Razmi Khalid berkata, sumbangan tersebut diserahkan kepada Muslim Care Malaysia (MCM) untuk diagihkan kepada mangsa yang berkelayakan di kawasan tragedi tersebut yang berlaku pada 18 Ogos lalu.
Katanya, sumbangan itu adalah hasil kerjasama beberapa agensi antaranya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin.
Pihaknya mengharapkan sumbangan tersebut dapat meringankan beban keluarga yang terlibat dalam tragedi itu.
“Program ini dianjurkan sempena sambutan Jubli Emas Ke-50 tahun Perkeso,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kotak makanan tersebut di Bilik Gerakan MCM di Gurun, hari ini.
Yang hadir sama Pengarah Perkeso negeri, Mohamad Haron Othman dan Presiden MCM, Zulkifli Wahijan.
Pada majlis itu, Mohd. Razmi menyampaikan sumbangan wang tunai RM3,000 kepada mangsa ‘Tsuami Jerai’ itu.
Menurutnya, sebanyak 600 kotak barangan makanan disediakan untuk disampaikan kepada golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 di beberapa negeri sejak Jumaat lalu.
“Golongan yang diberikan tumpuan untuk diagihkan bantuan tersebut adalah pemandu teksi dan kereta sewa.
“Kebanyakan pemandu teksi dan kereta sewa juga mencarum dengan Perkeso dan terkesan akibat pandemik Covid-19,” ujarnya.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
PERKESO SUMBANG BARANGAN MAKANAN KEPADA MANGSA KEPALA AIR