Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PERLU TEGAS BENDUNG IKLAN TIDAK BERMORAL – SINAR HARIAN – 25/11/2021
25 Nov 2021

SHAH ALAM – Kerajaan perlu lebih tegas dalam melaksanakan undang-undang supaya iklan tidak bermoral yang dilakukan peniaga di negara ini di mana-mana platform media sosial dapat dibendung.

Ahli Jawatankuasa Pengiklanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Nadzim Johan berkata, sikap tidak tegas pihak berkuasa menyebabkan orang ramai tidak takut untuk membuat iklan yang bertentangan dengan nilai murni rakyat Malaysia.

“Saya sendiri telah menyuarakan (isu iklan tidak bermoral) dalam pertemuan dengan KPDNHEP, tetapi setakat menyuarakan sajalah. Kelemahan paling besar adalah untuk melaksanakan peraturan atau undang-undang tersebut.

“Saya juga pernah bercakap dengan bekas Menteri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Saifuddin Abdullah mengenai perkara ini. Namun, sudah bertukar menteri pun perkara ini tetap tidak dapat dibendung juga.

“Bagi saya, kita tidak serius untuk mengatasi perkara sebegini. Jika kita terus tidak serius, perkara ini akan menjadi lebih parah dan memberikan kesan besar kepada rakyat dan generasi akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan mengenai peniaga di media sosial yang mempamerkan visual dan promosi produk melampau termasuk berunsur lucah untuk menarik pembeli membeli produk mereka.

Beberapa akta sudah diwujudkan termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) melarang sebarang bentuk kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mencaci, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.

Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM5,000, dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, Nadzim yang juga Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melihat hukuman lebih berat perlu diwujudkan selain pelaksanaan lebih serius dalam kalangan pihak berkuasa di negara ini.

“Isu utama sekarang ini adalah kita tidak ada peraturan jelas sehingga menyebabkan orang pun tidak tahu kita ada akta yang boleh menghukum. Malah, jika kita lihat di laman sosial masih ramai yang berani mengiklankan produk mereka menggunakan bahasa atau visual tidak baik,” ujarnya.

Beliau turut menggesa SKMM bertindak lebih tegas dan mengatasi masalah kelemahan dalam pelaksanaan peraturan dan pelanggaran undang-undang berkaitan promosi produk dalam media sosial.

Artikel oleh: Sinar Harian

PERLU TEGAS BENDUNG IKLAN TIDAK BERMORAL

https://premium.sinarharian.com.my/article/154129/fokus/semasa/perlu-tegas-bendung-iklan-tidak-bermoral