KUALA LUMPUR 22 Jun – Kementerian Sumber Manusia dilihat mengambil langkah mengundur apabila menetapkan peraturan hanya tukang masak tempatan dibenarkan bekerja di restoran seluruh negara yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2019.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr. Jacob George berkata, kementerian tersebut dilihat terlalu tergesa-gesa dalam menetapkan peraturan tersebut tanpa penilaian menyeluruh, sekali gus akan menyebabkan imej negara sebagai hab pelancongan terjejas.
“Sepatutnya kementerian perlu berbincang dengan pemain industri sebelum melaksanakan dasar baharu kerana ia melibatkan kesan jangka panjang kepada perniagaan mereka.
“Berdasarkan pemantauan Cassa sejak 15 tahun lalu, negara kekurangan tukang masak profesional yang mampu menggantikan tukang masak dari luar negara. Sepatutnya kerajaan perlu memberi tumpuan untuk melahirkan lebih ramai tukang masak tempatan profesional daripada mengambil langkah mengundur seperti ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Jacob berkata, peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia itu akan memberi kesan kepada hubungan diplomatik terhadap negara-negara terlibat seperti Thailand dan India.
Katanya, walaupun pene tapan peraturan tersebut memberi ruang kepada tukang masak tempatan untuk mendapat peluang pekerjaan, namun jumlah tenaga pakar yang ada ketika ini masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan dalam industri tersebut.
“Banyak restoran akan mengalami kerugian, malah akan ditutup sekiranya kerajaan tetap dengan keputusan untuk melak. sanakan peraturan ini. Saya akan membuat rayuan agar kerajaan memberi kelonggaran kepada pihak berkenaan mengenai hal ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu agensi khas untuk menyelia tukang masak tempatan agar keperluan industri tersebut dapat dipenuhi.
Katanya, penguatkuasaan peraturan baliaru itu juga perlu dilaksanakan secara berperingkat -peringkat supaya kerajaan dapat menilai kesan terhadap majikan yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada tukang masak profesional dari luar negara.
“Lebih elok sekiranya penguatkuasaan ini dilakukan di hotel terlebih dahulu. Sekiranya kesannya positif terhadap semua pihak, maka barulah kita boleh laksanakan di peringkat restoran,” katanya
Artikel Oleh : Utusan Malaysia
PERSATUAN PENGGUNA GESA KEMENTERIAN KAJI SEMULA