KUALA LUMPUR 27 Dis. – Kerajaan digesa membuka kertas siasatan secara terperinci mengenai orang ketiga yang menjadi halangan pihak berkuasa untuk membanteras premis judi tidak berlesen di Selangor dan juga ibu kota.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, siasatan secara menyeluruh perlu dilakukan segera bagi mengenalpasti pihak yang menjadi orang ketiga atau pelindung kepada sindiket premis judi tersebut.
Katanya, kewujudan premis judi secara jelas ini membuktikan mereka mampu beroperasi seperti biasa tanpa perlu bimbang terhadap tindakan penguatkuasaan oleh pihak berwajib.
“Sebagaimana kita sedia maklum, premis judi ini hanya beroperasi secara tetap di sesebuah kawasan maka adalah tidak logik sekiranya sehingga hari ini pihak berkuasa gagal mengesan dan mengambil tindakan terhadap premis judi yang tidak berdaftar ini.
“Satu lagi faktor yang perlu diambil kira iaitu peranan orang ketiga dan bagaimana mereka berjaya ‘menutup’ mata pihak berkuasa sehingga seolah-olah kewujudan mereka tidak diketahui,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tegas Nadzim, pihaknya mengesyaki bahawa kegagalan membanteras premis judi di lokasi-lokasi tersebut adalah berpunca kerana wujudnya halangan daripada pihak ketiga.
Menurut beliau, kegagalan melakukan tindakan habis-habisan akan hanya memusnahkan masyarakat dan negara.
“Judi merupakan salah satu musuh negara yang perlu dibanteras secepat mungkin bagi mengelakkan lebih ramai masyarakat yang terjebak dengan gejala judi.
“Jika premis ini dibiarkan beroperasi tanpa ada pemantau yang tegas, tidak mustahil bilangan premis judi yang tidak berdaftar akan terus meningkat saban hari.
“Ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada peningkatan masalah sosial dalam kalangan rakyat Malaysia,” jelasnya.