PILIH MUTU BUKAN HARGA – PPIM
03 Dec 2011
03/12/2011 1:41pm
MUAR — Pengguna, khususnya dari kalangan umat Islam, digesa supaya jangan mudah terpengaruh dengan tawaran harga murah semata-mata dalam memilih barang makanan, tanpa mengambil kira mutu dan status halal barangan makanan itu.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Ma’amor Osman yang membuat gesaan itu berkata pengguna perlu bijak dalam membeli barang makanan yang benar-benar sesuai, dan yang lebih penting ialah memastikan ia halal.
Beliau berkata, penghasilan produk halal sepatutnya boleh dijadikan sebagai strategi memantapkan ekonomi umat Islam, dan menurutnya perkara itu sememangnya dituntut oleh agama, supaya usaha melahirkan usahawan berjaya di kalangan umat Islam dapat ditingkatkan lagi.
Beliau berkata, demikian ketika menyampaikan ceramah dalam forum karnival tranformasi halal sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Johor di Dataran Tanjung Emas, Muar di sini malam tadi.
Turut sama menyampaikan ceramah di forum itu ialah Penasihat Agama Kerajaan Negeri Johor, Datuk Noh Gadut. — Bernama
Halal JAIJ mulai tahun depan
MUAR — Mulai tahun depan, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) akan memproses permohonan mendapatkan sijil halal daripada pengusaha produk makanan dan pembuatan.
Pengarah JAIJ, Elias Hasran berkata, langkah itu bukan sahaja dapat mempercepatkan kelulusan sesuatu permohonan tetapi membolehkan jabatannya mengenalpasti sesuatu jenis produk halal yang wajar diberikan sijil itu.
“Kami juga akan bekerjsama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk menggunakan kaedah e-halal bagi memudahkan proses pengeluaran sijil halal itu,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika merasmikan Karnival Kepenggunaan dan Tranformasi Halal sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Johor di Dataran Tanjung Emas, Muar, semalam.
Elias berkata, kerajaan negeri amat serius dalam menentukan sesuatu jenis makanan yang menggunakan tanda halal bagi memastikan ia benar-benar bebas daripada bahan yang tidak halal.
Mengenai karnival itu, beliau berkata ia akan diteruskan sebagai usaha menyedarkan masyarakat Islam tentang pentingnya memastikan produk yang dimakan dan diguna seharian benar-benar daripada sumber halal.
Karnival pertama yang pernah diadakan sebelum ini berjaya menarik minat lebih 200,000 pengguna dalam tempoh tiga hari, katanya. — Bernama
Post Views: 390