Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PODCAST PPIM | RAKYAT SEMAKIN RESAH: PERPADUAN SEUMPAMA RETORIK POLITIK.. RETAK MENANTI BELAH.. – PPIM – 27/01/2026
27 Jan 2026

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerusi sebuah podcast yang menampilkan Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi dan Pendakwah bebas, Prof Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah membangkitkan pelbagai isu berkaitan pemerkasaan masyarakat Melayu-Islam, termasuk aspek ekonomi, pendidikan, integriti moral serta kedaulatan negara.

Dalam perbincangan tersebut, Toqqi menegaskan bahawa masyarakat Islam di Malaysia memiliki kuasa beli bernilai berbilion ringgit yang boleh dimanfaatkan sebagai satu bentuk tekanan pengguna. Menurut beliau, tindakan boikot merupakan senjata ekonomi yang sah bagi menuntut penghormatan terhadap nilai dan prinsip masyarakat.

Antara yang disentuh ialah seruan boikot terhadap 99 Speedmart, susulan isu iklan pengambilan pekerja yang didakwa mengutamakan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Toqqi berkata, perkara tersebut dilihat bercanggah dengan semangat sistem kebangsaan. Beliau turut merujuk kejayaan boikot terdahulu terhadap jenama antarabangsa seperti Starbucks, McDonald’s, KFC dan Nestlé sebagai bukti kekuatan suara pengguna.

Sementara itu, Prof Ridwan menyuarakan kebimbangan terhadap usaha mengiktiraf UEC yang menurutnya boleh menggugat sistem pendidikan kebangsaan serta kedudukan Bahasa Melayu. Beliau mempersoalkan mengapa sijil yang dikeluarkan oleh sebuah NGO, iaitu Dong Zong, didesak untuk diiktiraf, sedangkan amalan tersebut tidak berlaku di negara lain.

Dalam isu kedaulatan negara, Prof Ridwan berkata kelemahan penguatkuasaan undang-undang, termasuk kewujudan struktur dan kuil haram di atas tanah rizab, perlu ditangani secara adil dan tegas. Beliau turut membangkitkan isu rasuah di sempadan dan institusi keselamatan yang disifatkan berpotensi menggadaikan keselamatan negara.

Podcast itu turut menyentuh soal integriti moral. Menurut Toqqi, amalan “curi masa” di tempat kerja menjadikan pendapatan tidak berkat dan memberi kesan buruk kepada pembentukan akhlak keluarga. Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap isu daging import yang status halalnya diragui, termasuk daging yang dibungkus semula untuk pasaran tempatan.

Selain itu, Prof Ridwan mengingatkan masyarakat agar tidak melupakan sejarah hitam negara, termasuk kekejaman komunis, serta mempersoalkan kewujudan tugu dan simbol berkaitan ideologi tersebut yang masih dibenarkan.

Sebagai kesimpulan, Toqqi dan Prof Ridwan menyeru masyarakat Melayu-Islam agar lebih berani, bersatu dan menggunakan saluran sah termasuk kuasa ekonomi serta media sosial secara berhemah bagi mempertahankan hak, maruah dan kedaulatan negara.