CYBERJAYA – Pertubuhan Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM) hari ini menyatakan pihaknya bersedia menyokong mana-mana parti politik yang sanggup bersamanya memperjuangkan nasib para pemain industri tersebut.
Ketua Aktivis PPDM, Kamaruddin Hussain berkata, perjuangan mereka memerlukan perubahan pada dasar kerajaan yang tidak akan dapat dilakukan oleh persatuan ataupun pertubuhan.
“Apa yang kami perjuangkan sebenarnya mahu mengubah dasar (kerajaan), supaya bukan sahaja menguntungkan syarikat tetapi juga kami sebagai pemain industri.
“(Tetapi) Usaha kami selama ini menerusi persatuan dan pertubuhan tidak membuahkan hasil, kerana tiada siapa yang dengar suara kami,” kata Kamaruddin.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Memorandum PPDM kepada Perdana Menteri dan Parti-Parti Politik Negara di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malayasia (PPIM), Datuk Nadzim Johan ataupun Toqqi, dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Malakat Eco dan Brainy Bunch, Adzhar Mohd Noor.
Kata Kamaruddin, dasar kerajaan yang sedia hanya menguntungkan pihak syarikat, namun menidakkan hak pemain industri lain seperti golongan pemandu.
“Kami inginkan perubahan, terutamanya pada dasar (kerajaan), kerana akta yang dibuat tidak melihat kepada kami (pemain industri).
“Atas kesedaran itu, kami ambil pendekatan menyerahkan memorandum pada semua wakil parti politik, bagi melihat parti mana yang sedia memperjuangkan tuntutan kami,” tambahnya.
Beliau menambah, mana-mana parti politik yang mahukan sokongan PPDM perlu serius dalam membantu memperjuangkan hak mereka sebagai pemain industri.
“Jika parti (politik) mahukan sokongan kami, kami tuntut jawatan Menteri Pengangkutan diberikan kepada (anggota) pemain industri.
“Saya tahu tuntutan ini amat besar, tapi jika parti tersebut benar-benar serius mahukan sokongan (politik PPDM), permintaan ini perlu diambil kira,” katanya lagi.
Artikel oleh: Malakat Tribune
PPDM SEDIA SOKONG PARTI POLITIK YANG SOKONG PERJUANGANNYA