PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengambil inisiatif berganding bahu bersama beberapa rakan sinerginya menjayakan misi kemanusiaan agihan sumbangan Infaq Rezeki kepada pemandu teksi.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, agihan itu turut melibatkan kerjasama dengan beberapa organisasi lain termasuk Gerbang Sumbangan Sdn. Bhd, Yayasan Patriot Negara Malaysia, Icon Production Sdn. Bhd. dan Satria Intelligence Agency Sdn. Bhd.
Kata beliau, misi kemanusiaan itu bagi membantu orang ramai terutama pemandu teksi dan limosin yang berhadapan impak besar akibat penularan COVID-19.
“Agihan Infaq Rezeki Jelajah Utara Prihatin telah bermula mulai semalam hingga Isnin ini melibatkan sumbangan di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti adanya pemandu teksi dan limosin.
“Ini termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang; Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Pinang; Jeti Pulau Langkawi; Kompleks Terminal Bas dan Teksi Kangar, Perlis dan Terminal Bas Shahab Perdana, Kedah.
“Sumbangan ini melibatkan lebih 400 pemandu teksi dan limosin yang rata-rata terkesan dengan impak pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Program tersebut merupakan lanjutan daripada Program Prihatin Sinergi Infaq Rezeki kepada 200 pemandu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Julai lalu.
Agihan di bahagian Utara tanah air itu juga melibatkan beberapa pihak dan agensi termasuk Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Langkawi Development Authority (Lada), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan pihak-pihak lain.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab berkata, agensi tersebut turut menyediakan kemudahan logistik bagi program Infaq Rezeki kali ini.
“Kita telah berkolaborasi dengan menyediakan kemudahan logistik agar proses menyalurkan sumbangan bagi kempen Infaq Rezeki sebanyak 500 kotak barangan asas keperluan dapur bernilai RM40,000 ini dapat disampaikan sebaiknya.
“Ia juga bagi menzahirkan keprihatinan kita semua kepada penerima manfaat Infaq Rezeki di saat pandemik COVID-19 dan menyemarakkan semangat patriotik kepada semua yang terlibat,” jelas beliau.
Artikel oleh: UtusanTV
PPIM AGIH SUMBANGAN INFAQ REZEKI BAGI PEMANDU TEKSI
https://utusantv.com/2021/08/28/ppim-agih-sumbangan-infaq-rezeki-bagi-pemandu-teksi/