2896) PPIM AKAN SERAH RESOLUSI PENINGKATAN KOS SARA HIDUP KEPADA KERAJAAN
20 Oct 2015
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sedang merangka satu resolusi berkisar peningkatan kos sara hidup rakyat untuk diserahkan kepada kerajaan sebelum pembentangan Bajet 2016.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, resolusi itu akan mengambil kira pelbagai masalah yang menghimpit rakyat pada waktu sekarang.
Turut dimasukkan dalam resolusi itu, katanya, mengenai sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST), multimedia dan isu berkaitan syarikat telekomunikasi yang masih mengenakan GST pada kad prabayar.
“Kita akan perhalusi isu-isu berkenaan untuk dipertimbangkan kerajaan dan dijawab dalam Bajet 2016. Setelah siap dirangka, resolusi itu akan diserahkan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Forum Pengguna PPIM 2015 di Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), di sini hari ini.
Turut hadir pada forum itu ialah Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.
Forum yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dihadiri lebih 1,000 peserta yang turut melibatkan golongan mahasiswa Unirazak.
Bajet 2016 akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 23 Oktober ini.
Tambah Maamor, beliau turut berharap Perdana Menteri mengumumkan Akta Produk Halal yang sudah dibincangkan sejak tiga tahun lalu.
Katanya, penggubalan akta itu mengambil masa yang panjang kerana banyak perkara perlu diselaraskan di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan.
Dalam perkembangan lain, Maamor turut mengumumkan penubuhan Skuad Bantuan Bencana Alam PPIM dan Yayasan Patriot Negara Malaysia.
Beliau memberitahu, sehingga kini, skuad bagi membantu dan menyelaraskan bantuan di negeri-negeri yang ditimpa bencana alam itu dianggotai kira-kira 180 orang. –
UTUSAN
Post Views: 133