Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM BANTU PELANCONG WARGA CHINA DIANIAYA PIHAK BERKUASA – KENYATAAN MEDIA PPIM – 25/03/2024
26 Mar 2024

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berjaya membantu seorang warganegara China untuk mendapatkan keadilan setelah dituduh mencuri dan menghina pihak berkuasa.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi berkata pada pertengahan tahun lalu, warga China yang dikenali sebagai Laila tiba di Malaysia untuk bercuti.

“Ketika berada di sebuah Pusat Membeli Belah yang terkemuka di Bukit Bintang, dia dihampiri oleh seorang lelaki berpakaian awam yang menuntut paspotnya tanpa sebab munasabah.

“Pelancong itu tidak memahami Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia, lalu meminta bantuan pengawal keselamatan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nadzim berkata ketika menggunakan telefon bimbit pengawal keselamatan tersebut, Laila dituduh mencuri peralatan tersebut daripada pengawal keselamatan yang meminjamkannya.

“Dalam usaha Laila menjelaskan dengan penguasaan bahasa yang terhad, dia dituduh pula memaki hamun pihak berkuasa,” katanya.

Laila kemudian ditahan atas tuduhan mencuri dan menghina pegawai penguatkuasa, serta diminta untuk membayar jaminan sebanyak RM7000.

“Aktivis PPIM berjaya membuktikan kepada mahkamah tuduhan itu tidak berasas berdasarkan bukti rakaman video,” katanya.

Nadzim menegaskan insiden ini adalah satu contoh jelas bagaimana pihak berkuasa menyalah gunakan kuasa dan membazir masa mahkamah.

“Tindakan ini adalah bentuk penganiayaan yang tidak boleh diterima, buang masa, bazir duit dan masa mahkamah,” katanya.

Nadzim menyeru pihak berkuasa bertindak sewajarnya mengikut peraturan undang-undang dan memberi amaran bahawa tindakan mereka sentiasa dipantau oleh masyarakat.

“Walaupun warga China ini akhirnya dibebaskan daripada tuduhan yang tidak berasas, kes ini tetap menimbulkan persoalan tentang perlunya pihak berkuasa bertindak dengan penuh pertimbangan sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan hak asasi individu” katanya.

“Penyelidikan lanjut perlu dijalankan untuk menentukan sama ada tindakan yang diambil terhadap pelancong warga China ini adalah berdasarkan kepada prosedur undang-undang yang sewajarnya.

“PPIM akan terus memantau perkembangan kes ini dan memastikan keadilan dilakukan bagi semua individu tanpa mengira bangsa atau agama.

“Kita semua berharap agar insiden seperti ini tidak akan berulang dan pengajaran untuk memastikan kesalahan serupa tidak berlaku pada masa akan datang,” katanya.

PPIM menganggap kes ini sebagai satu pengalaman yang memberi peringatan tentang pentingnya memastikan keadilan dan hak asasi individu sentiasa diutamakan dalam setiap tindakan pihak berkuasa.

Semoga setiap individu dilindungi dengan sewajarnya dan keadilan menjadi landasan utama dalam sistem kehakiman negara.