DAMANSARA: Kira-kita 10 orang berarak dari Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara menuju ke Menara Millenium, Pusat Bandar Damansara bagi mendapatkan jawapan dan maklumbalas segera berkenaan isu penganiayaan terhadap beberapa pengusaha stesen minyak Caltex sejak bulan Jun lalu.
Kumpulan yang diketuai Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi, turut disertai pengadu dan juga para aktivis PPIM.
Ketibaan mereka yang berarak dari jam 3 petang itu, disambut baik wakil korporat Chevron.
Perbincangan yang berlaku hampir setengah jam itu tidak membuahkan hasil apabila pihak Chevron gagal memberikan jawapan terhadap persoalan berkenaan mengapa pengusaha-pengusaha stesen minyak berkenaan diberhentikan tanpa sebab.
Walau bagaimanapun, pihak Chevron bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan mangsa, dan wakil PPIM pada masa dan tarikh yang akan ditetapkan kelak.