Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM CADANG HUKUMAN LEBIH BERAT TERHADAP PENJENAYAH PENIPUAN DALAM TALIAN – HARIAN METRO – 13/10/2026
15 Oct 2026

Kuala Lumpur: Hukuman lebih berat termasuk sebatan, pelucutan harta dan tindakan mengikut Akta Langkah-Langkah Keselamatan Khas 2012 (SOSMA) perlu dipertimbangkan terhadap penjenayah penipuan dalam talian.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, langkah itu bagi memastikan hukuman dikenakan setimpal dengan kerugian dialami mangsa.

“Ketika ini, hukuman dikenakan agak ringan iaitu denda RM3,000, sedangkan penipuan dilakukan membabitkan jutaan ringgit.

“Ribuan mangsa membuat aduan kepada PPIM dan ada yang mendakwa mengalami kerugian sehingga RM500,000 akibat diperdaya sindiket penipuan dalam talian,” katanya kepada media pada Bengkel Anti-Scam Internet Selamat (BASIS) Siri 1 di Dewan Serbaguna, Villa Puteri Condominium, di sini, hari ini.

Menurutnya, cadangan hukuman itu perlu dibawa kepada penggubal undang-undang untuk diteliti bagi memperkukuh tindakan terhadap pelaku jenayah berkenaan.

Beliau berkata, ancaman jenayah penipuan dalam talian semakin membimbangkan apabila penjenayah menggunakan taktik penipuan dan helah psikologi yang dirancang untuk memperdaya mangsa.

“Mereka boleh menyasarkan sesiapa sahaja tanpa mengira usia atau latar belakang.

“Anak saya turut menjadi mangsa penipuan sebelum pelaku berjaya dikesan dan ditangkap selepas usaha menjejakinya selama setahun empat bulan.

“Usaha mendidik masyarakat perlu dilakukan secara berterusan kerana penjenayah sentiasa mengubah taktik bagi memperdaya mangsa,” katanya.

Nadzim berkata, bagi mengelakkan lebih ramai masyarakat menjadi mangsa, PPIM menganjurkan bengkel berkenaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM CADANG HUKUMAN LEBIH BERAT TERHADAP PENJENAYAH PENIPUAN DALAM TALIAN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/10/1422523/ppim-cadang-hukuman-lebih-berat-terhadap-penjenayah-penipuan-dalam-talian