KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bimbang dengan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang didakwa menyisihkan pendapat pakar perubatan yang menentang isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau Parallel Pathway terhadap cadangan pindaan Akta Perubatan 1971.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan turut mendakwa KKM telah menjadikan pesakit sebagai alasan untuk mengetepikan perbincangan membabitkan cadangan kerajaan untuk meminda Akta Perubatan.
Menurutnya, perkara itu tidak boleh diterima dan KKM telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap program Parallel Pathway dan kesannya terhadap keselamatan pesakit dalam proses membuat keputusan.
“Penglibatan KKM dan pakar perubatan merupakan peluang agar semua perspektif diambil kira semasa membuat keputusan yang akan memberi kesan secara langsung kepada sistem penjagaan kesihatan di Malaysia.
“Cadangan pindaan kepada Akta Perubatan 1971 adalah amat penting bagi semua pihak termasuk pengkritik Lanjutan Kepakaran untuk diberi platform menyatakan pandangan dan kebimbangan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
PPIM turut menggesa KKM mempertimbangkan semula pengecualian pihak berkepentingan tertentu dan memastikan semua suara didengari dalam proses membuat keputusan.
“Keselamatan pesakit harus sentiasa menjadi keutamaan dalam sistem penjagaan kesihatan, dan penting bagi semua pihak yang berkepentingan bekerjasama untuk memastikan bahawa cadangan pindaan kepada Akta Perubatan akan memberi manfaat kepada pesakit dan meningkatkan penyampaian penjagaan kesihatan di Malaysia,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan KKM akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan Akta 50 mengenai program Parallel Pathway bagi membolehkan pelatih yang menyelesaikan program itu mendaftar sebagai pakar di bawah akta berkenaan.
Dalam pada itu, bekas Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Prof Dr. Dayang Anita Abdul Aziz berkata, pakar perubatan yang sudah mendaftar dalam National Specialist Register (NSR) sepatutnya tidak perlu mengambil kelayakan tambahan seperti program Parallel Parapathway.
Katanya, pakar bedah pediatrik yang telah berdaftar dalam NSR tidak perlu mengambil kelayakan tambahan dari luar negara, namun mereka boleh mengambil peperiksaan European Board secara persendirian tanpa melibatkan KKM.
“Namun, jika KKM mahu menjalankan peperiksaan luar negara untuk kelayakan tertentu, ia boleh dilakukan tetapi hanya terbuka kepada pakar yang telah berdaftar dalam NSR sahaja.
“Ini kerana melaksanakan program seperti ini tidak mudah kerana memerlukan komitmen sepenuh masa serta klinikal di KKM yang sangat tinggi dan pakar sepatutnya menjadi pelatih, bukannya menjalankan program,” katanya.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
PPIM DAKWA KKM KETEPIKAN PAKAR DALAM PINDAAN AKTA PERUBATAN