Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM GESA KERAJAAN LAKSANA PENGGUNAAN LOGO UNTUK PRODUK BERKAITAN HAIWAN – PORTAL ISLAM DAN MELAYU – 8/2/2017
09 Feb 2017

PORTAL-ISLAM-DAN-MELAYU

PPIM GESA KERAJAAN LAKSANA PENGGUNAAN LOGO UNTUK PRODUK BERKAITAN HAIWAN

KUALA LUMPUR, 11 Jamadilawal 1438H, Rabu – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan melaksanakan penggunaan logo dan label yang bersesuaian pada setiap produk berkaitan haiwan yang dijual di pasaran.

Pengerusinya, Datuk Nadzim Johan berkata, ia bertujuan memudahkan pengguna mengetahui maklumat mengenai sesuatu produk dengan lebih terperinci dan mengelakkan kekeliruan terhadap pengguna.

“Sebagai pengguna kita perlu mempunyai hak untuk mengetahui dan hak untuk mendapatkan maklumat mengenai sesuatu barangan yang dibeli…kalau hak mendapat maklumat tak ada seperti sekarang maka ianya menyusahkan sebab kita tak tahu produk itu dibuat daripada apa.

“Ini bukan sahaja untuk kebaikan orang Islam tetapi juga untuk kaum lain kerana ada sesetengah bahan yang kita tak boleh makan bukan kerana halal atau haram, tetapi kerana alahan dan ada juga pengguna vegetarian, jadi setiap produk dan barang yang dijual kena ada logo dan mempunyai label,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengulas mengenai isu lambakan produk bulu babi yang dijual di pasaran.

Nadzim berkata sekiranya logo atau label dipamerkan pada setiap barangan yang dijual, ianya akan lebih memudahkan pengguna.

“Kalau guna kod dan label biasa tanpa menggunakan gambar, memang pengguna tidak akan tahu produk tersebut dibuat daripada apa. Tetapi kalau ada logo gambar, semua orang akan tahu dan mereka (pengguna) boleh membuat pilihan masing-masing,” katanya.

Menurutnya kerajaan perlu tegas dalam menangani isu penggunaan produk yang dihasilkan daripada babi memandangkan ianya telah berlanjutan hampir 20 tahun.

“Sebenarnya, isu penggunaan babi memang dah lama dan kita juga turut menerima banyak aduan sejak 20 tahun lalu…apa yang paling dikhuatiri ialah makanan, dan apa-apa yang kita pegang terutamanya barangan seperti kasut, berus, tali pinggang, sarung tangan dan pelbagai lagi.

“Dahulu, kita boleh kenali barang yang diperbuat daripada babi dengan tanda tiga titik pada produk, tetapi sekarang barang yang dihasilkan daripada babi tak ada titik pun kerana perkembangan industri,” katanya.

Nadzim berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) minggu depan bagi membincangkan isu tersebut.

Semalam, KPDNKK menyita sebanyak 2,003 berus cat diperbuat daripada bulu babi benilai RM10,988.94 hasil daripada 157 pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara.- Bernama

SUMBER DARI : PORTAL ISLAM DAN MELAYU