Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM GESA KERAJAAN SEGERA BANTU PENEROKA FELDA KLAU – SINAR HARIAN – 27/07/2022
27 Jul 2022

SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan persekutuan segera bertindak bagi membantu seramai 458 peneroka Felda Klau, Raub yang mendakwa kerugian kira-kira RM748 juta.

Mereka mendakwa, kerugian itu terpaksa ditanggung selepas lebih 607 hektar tanah ladang sawit mereka diambil untuk projek empangan pemindahan air Pahang-Selangor pada 2008.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sehingga kini ada antara peneroka masih belum menerima sebarang pampasan daripada kerajaan negeri dan bagi yang telah menerimanya pula, pampasan diberikan tidak berdasarkan nilai semasa tanah.

Malah katanya, berlaku pelbagai isu dalam urusan pengambilalihan tanah tersebut termasuk pampasan dibayar kepada peneroka Felda yang mempunyai geran tanah lebih rendah berbanding pampasan kepada orang bukan Melayu yang menghuni kawasan itu.

“Ramai juga orang Melayu pemilik tanah itu tidak dibayar pun menyebabkan mereka hidup susah dan merempat.

“Bagi membantu dan membela semua peneroka yang terlibat ini, PPIM juga akan sediakan peguam, namun diharap kerajaan dapat tampil membantu,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur yang disiarkan secara langsung di Facebook PPIM pada Rabu.

Sementara itu, wakil peneroka, Tengku Badri Tengku Jaafar berkata, walaupun harga yang dipersetujui peneroka ketika itu RM3.45 sekaki persegi tanah, namun mereka hanya mendapat pampasan 99 sen, RM1.05 atau RM1.17 sekaki persegi sahaja.

“Macam saya sendiri hanya terima pampasan RM400,000 sahaja walaupun pada masa itu saya sepatutnya dapat RM1.5 juta.

“Ada kawan-kawan lain yang tanah kebunnya tenggelam keseluruhannya namun masih belum dapat apa-apa bayaran pun,” ujarnya kesal.

Lebih menyedihkan, dakwanya, penduduk Orang Asli yang turut terlibat dengan pengambilan tanah itu diberi layanan istimewa.

“Rumah mereka diganti semula, diberi tanah seluas 2.8 hektar ekar, dibayar wang pampasan untuk setiap pokok (durian) di tanah yang dihuni itu serta diberi wang sara hidup RM650 sebulan selama lima tahun.

“Jadi mereka masih ada sesuatu untuk masa depan anak cucu mereka sedangkan kami paling tinggi hanya dibayar RM400,000 tanpa ada kelebihan lain,” jelasnya.

Menurutnya, mereka mahu perbincangan dibuat segera antara pihak kerajaan negeri dan semua peneroka terlibat agar mereka memperoleh pampasan atau ganti rugi mengikut harga semasa tanah berkenaan.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM GESA KERAJAAN SEGERA BANTU PENEROKA FELDA KLAU

https://www.sinarharian.com.my/article/213324/BERITA/Semasa/PPIM-gesa-kerajaan-segera-bantu-peneroka-Felda-Klau