Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan agar mewujudkan satu badan khas bagi mengekang jenayah yang melibatkan ah long.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, fenomena yang berlaku di Negara ini sekarang menunjukkan ah long dapat bergerak dengan begitu bebas dan melakukan jenayah.
Justeru katanya, badan khas itu diharap dapat mengekang pergerakkan ah long haram bagi mengelak lebih aktiviti jenayah berlaku.
“PPIM telah menerima banyak aduan daripada peminjam ah long yang menyatakan kehidupan mereka penuh dengan ketakutan akibat daripada ugutan kejam.
“Dan seperti yang kita tahu, golongan ah long ini banyak melakukan jenayah dimana ia mungkin dapat diatasi sekiranya kerajaan menubuhkan satu badan khas untuk membanteras kegiatan mereka ini.
“Kita harap, badan khas berkenaan berfungsi untuk menyekat pergerakan jenayah dan sekaligus mengekang dari bertambahnya golongan ahlong dan peminjam di negara ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Nadzim menambah, usaha untuk mengekang dari berleluasanya gejala ahlong ini perlu dilakukan oleh semua pihak.
Katanya juga, pendekatan ini dilihat sebagai perlu kerana kadar jenayah melibatkan ahlong semakin meningkat saban hari.
“Untuk tahun ini sahaja, kita menerima 8700 aduan daripada peminjam berkaitan ancaman-ancaman jenayah yang mereka terima.
“Daripada aduan yang kita terima, ada diantara mangsa menyatakan nilai pinjaman mereka hanyalah RM500 sahaja namun kini telah meningkat menjadi RM30 ribu.
“Dalam kes sebegini, bagaimana mereka nak bayar sedangkan kehidupan mereka sendiri pun susah. Atas sebab itu kita gesa kerajaan agar mencari satu pendekatan yang baik sama ada untuk membantu peminjam dan dalam masa yang sama membanteras kegiatan ah long.
Jelas beliau, sebagai langkah awal, pihak PPIM akan menggunakan maklumat berkaitan ah long yang dikumpul dari peminjam untuk dibawa ke muka pengadilan.
“Kita ada segala maklumat ah long ini, sama ada nombor telefon, nombor akaun dan nama mereka sendiri untuk kita bawa ke pihak berkuasa,” katanya lagi.