Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM GESA MR DIY MOHON MAAF SECARA TERBUKA – SINAR – 8/2/19
11 Feb 2019

Sinar

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa rangkaian kedai perkakasan MR DIY untuk membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu pelekat berbentuk tapak kaki yang didakwa mempunyai kalimah ALLAH dan Muhammad.

Pembantu Khas PPIM, Mat Ramlee Buang berkata, ini bagi menjaga sensitiviti umat Islam serta keharmonian masyarakat dan keamanan negara.

Menurutnya, pelekat tapak kaki itu tertera jelas berbentuk cetakan kalimah ALLAH dan Muhammad.

“Kami ada buat serbuan semalam di salah satu cawangan MR DIY di sebuah pusat beli-belah di ibu negara dan saya dimaklumkan mereka telah menarik balik barang tersebut.

“Sebaiknya, mereka (MR DIY) harus membuat sidang media untuk menunjukkan permohonan maaf secara terbuka mereka berhubung isu ini,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Laporan tersebut dibuat pada jam 3 petang dan juga disertai Pertubuhan Melayu Sejati Nusantara dan Persatuan Pembangunan Sahsiah Ummah Malaysia.

Beliau berkata, laporan ini dibuat untuk mengambil tindakan sekiranya barang tersebut masih dijual atau diimport.

Terdahulu, media melaporkan MR DIY dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mereka telah mengeluarkan arahan menarik balik produk pelekat kenderaan itu dari semua cawangannya berkuat kuasa serta merta.

Pada masa sama, MR DIY turut memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang berlaku.

Sejak beberapa hari lalu tular video berdurasi 27 saat di laman sosial menunjukkan satu rakaman yang memaparkan pelekat berbentuk kaki dengan tulisan didakwa kalimah suci al-Quran yang dibeli di kedai MR DIY.

 

Artikel oleh : Sinar

PPIM GESA MR DIY MOHON MAAF SECARA TERBUKA

https://www.sinarharian.com.my/article/11881/BERITA/Nasional/PPIM-gesa-MR-DIY-mohon-maaf-secara-terbuka