Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM GESA PEMERIKASAAN MENTAL TERHADAP GURU SEKOLAH DILAKUKAN – MALAKAT TRIBUNE – 05/04/2022
05 Apr 2022

CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) dan semua jabatan agama negeri yang mengendalikan sekolah agama menjalankan pemeriksaan mental terhadap guru dan kakitangan sekolah bagi mengelakkan berulangnya kes seorang guru agama yang merotan pelajarnya sehingga mendatangkan kecederaan, baru-baru ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan seorang guru agama di Cheras yang merotan pelajarnya sehingga menyebabkan kecederaan tidak boleh diterima walaupun keluarga mangsa telah menerima permohonan maaf.

“Tidak adil anak-anak menjadi mangsa kerana guru tidak mampu mengawal emosi akibat masalah peribadi atau di tempat kerja, anak yang tidak bersalah menjadi mangsa.

“Tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku terutamanya di peringkat sekolah.

“Apa yang hendak diajar oleh guru jika mereka bertindak ganas dan melulu terhadap pelajar terutama di peringkat sekolah rendah, maka tidak hairanlah pelajar kita semakin kurang ajar, tidak beradab dan ganas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas laporan mengenai tindakan seorang guru sekolah Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Cheras didakwa merotan seorang murid hanya kerana meminta rakan di hadapannya menanggalkan songkok kerana sukar melihat tulisan di papan putih.

Di samping itu, beliau juga menasihati semua ibu bapa yang menerima aduan daripada anak-anak mereka untuk menyiasat secara menyeluruh dakwaan dibuat dan membuat aduan rasmi kepada pihak sekolah serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mereka juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada aktivis PPIM serta peguam kami berkenaan kes mereka dan cara penyelesaian yang terbaik,” katanya.

Artikel oleh: Malakat Tribune

PPIM GESA PEMERIKASAAN MENTAL TERHADAP GURU SEKOLAH DILAKUKAN

https://www.malakattribunenews.com/2022/04/ppim-gesa-pemeriksaan-mental-terhadap-guru-sekolah-dilakukan/