KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa peruncit dan pengguna di negara ini supaya tidak panik dan tunduk kepada helah pengusaha ladang ayam untuk menaikkan harga bekalan makanan itu.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata, dakwaan kekurangan bekalan ayam pada ketika ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab demi mengaut lebih keuntungan.
Bahkan tindakan beberapa pihak yang mendakwa ladang-ladang ayam tidak mempunyai bekalan ayam juga tidak masuk akal kerana mereka mempunyai kontrak pembekalan kepada pembekal dan pemborong.
“Mereka mengada-adakan alasan bodoh seperti ayam tidak cukup berat atau sebagainya.
“Apa guna mereka bela ayam jika tiada pembeli, mereka akan berusaha mendapatkan kontrak untuk membekalkan ayam kepada pembekal atau pemborong secara pukal sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan atau setahun.
“Pengguna harus bijak dalam menilai situasi semasa dan kembali mengawal keadaan pasaran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga menggesa peruncit yang terkesan dengan kesuntukan bekalan ayam di pasaran tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) atau membawa perkara itu ke mahkamah jika dirasakan perlu.
Sehubungan itu, PPIM mahu kerajaan mengambil tindakan yang serius dan tidak sesekali tunduk kepada tuntutan pihak yang tamak dan sering memperbodohkan pengguna untuk kepentingan diri.
Toqqi turut menasihatkan pengguna untuk menolak produk dari pengeluar yang tidak bertanggungjawab dengan bertanya kepada peruncit atau pemborong siapakah pembekal ayam mereka.
“Kalau dah ladang tak boleh membekalkan ayam, maka kita sebagai pengguna boleh pilih untuk membeli produk dari pihak lain yang lebih bertanggunjawab dan tidak memperbodohkan pengguna,” katanya.
Artikel oleh: Malakat Tribune
PPIM GESA PENGGUNA, PERUNCIT JANGAN TUNDUK ‘GAME’ PEMBEKAL AYAM