“SUDAH ada orang yang jalankan tugas dengan betul, ditukar pula. Kenapa nak ikut cakap mereka yang tidak senang dengan usaha yang baik. PPIM gesa pertukaran ini dikaji semula kerana terbukti, kegiatan haram di Wilayah Persekutuan mula dibanteras.”
Itu reaksi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berhubung arahan pertukaran Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood ke Bahagian Perancangan dan Pembangunan Sumber Air Kementerian Wilayah Persekutuan berkuat kuasa esok.
Azman, 48, adalah penggerak utama Ops BAH yang ditubuhkan sejak April 2014 dan sudah berlanjutan lebih 50 siri dengan kerjasama bersepadu 27 agensi kerajaan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta pembabitan lebih 18 badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
Nadzim berkata, beliau berpendapat, usaha yang dilakukan Azman itu adalah berdasarkan komitmen sendiri dan ia adalah pencetus kepada sistem penyampaian penguat kuasa DBKL sendiri kerana sebelum ini boleh dianggap bermasalah dan tidak berjaya mencapai sasaran.
“Tiada masalah di bahagian diterajui oleh Azman, mengapa ada yang panas punggung kecuali jika mereka tidak lagi boleh melindungi aktiviti haram di ibu negara ini,” katanya.
Sementara itu Azman ketika dihubungi berkata, beliau menerima pertukaran itu sebagai prosedur biasa bagi penjawat awam dan sudah melakukan yang terbaik untuk meningkatkan imej Kuala Lumpur serta memudahkan urusan warga kota.
“Selama di sini, saya dan pegawai lain di Jabatan Penguatkuasaan sudah lakukan yang terbaik,” katanya.
Artikel oleh : Harian Metro
PPIM GESA PERTUKARAN PENGARAH JABATAN PENGUATKUASAAN DBKL DIKAJI SEMULA
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/02/428342/ppim-kesal-pertukaran-azman