Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa syarikat penghantaran makanan memastikan prosedur penghantaran makanan melibatkan makanan halal ditambah baik bagi mengelakkan kesilapan oleh semua pihak.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata kes terbaru melibatkan kanak-kanak berusia lapan tahun yang tersilap memakan makanan tidak halal yang mengandungi khinzir amat membimbangkan pengguna.
Lebih menyayat hati kanak-kanak yang terlibat adalah pelajar Tahfiz di Madrasah yang sedang dalam usaha menghafal Al-Quran.
“Dalam keadaan ini pengguna itu meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada syarikat penghantar namun adakah silap untuk pengguna yakin dengan syarikat terbabit? Perlukah pengguna mengelakkan dari menggunakan perkhidmatan mereka kerana tidak bertanggungjawab soal ini,” katanya.
Nadzim berkata sebelum ini syarikat penghantaran yang terlibat pernah mengumumkan penggunaan beg penghantaran berasingan bagi makanan halal dan tidak halal.
“Bagaimana perkara itu berlaku sedangkan pengguna memesan makanan dari restoran halal, adakah penghantar makanan mengambil makanan dari dua restoran tanpa mengira status halal sehingga berlaku kesilapan,” katanya.
Nadzim turut menuntut syarikat penghantaran yang terlibat untuk menghubungi pelanggan yang terkesan dan berbincang mengenai penyelesaian terbaik.
“Syarikat sebesar mereka sepatutnya mampu melantik pegawai yang memantau bagi memastikan perkara sebegini tidak berlaku,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial apabila Pengarah Latihan dan Penyelidikan PPIM, Izham Nayan mendedahkan anak pelanggan beragama Islam tersilap memakan makanan tidak halal yang dihantar oleh syarikat penghantaran terkenal.
Menurut Izham, bapa kanak-kanak itu membuat pesanan dari tempat kerja untuk anaknya yang berada di rumah.
“Kejadian berlaku pada Sabtu 1 Jun lalu, bapa mereka bekerja manakala ibu kanak-kanak itu sedang menjalani kelas secara atas talian.
“Ketika penghantar makanan menghantar makanan, ia diterima oleh anak pasangan itu yang berusia 8 tahun namun ibu mereka memeriksa makanan sebelum dimakan anak-anaknya.
“Wanita itu mendapati nasi ayam tanpa sup sebelum menyambung semula kelas atas taliannya,” katanya.
Izham berkata mangsa tidak tahu makanan yang lain mengandungi babi kerana gagal menemukan resitnya.
“Ibu kepada empat orang anak itu kemudian menghantar mesej kepada suaminya untuk tanya adakah ini makanan yang dipesan. Suaminya hanya menjawab 45 minit kemudian setelah anak-anak selesai makan.
“Ketika makanan dihantar, penghantar menyebut nama pelanggan namun makanan yang diberikan silap,” katanya.
PPIM difahamkan keluarga mangsa sudah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.