Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM KECEWA KEBENARAN RAPATKAN SAF MASIH BELUM DIPUTUSKAN – MALAYSIA POST – 26/12/2021
27 Dec 2021

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) yang didakwa melengah-lengahkan keputusan untuk membenarkan saf secara rapat solat jemaah di masjid dan surau di seluruh negara.

Kekecewaan itu diluahkan Presidennya, Datuk Nadzim Johan susulan alasan diberikan KKM iaitu untuk menilai situasi varian Omicron, sedangkan beberapa jabatan agama negeri telah bersedia melaksanakan solat dengan kapasiti penuh serta merapatkan saf.

“Kami berharap agar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin mempertimbangkan semula keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan solat secara berjemaah yang diperintahkan Allah SWT ini dan menggariskan beberapa prosedur operasi standard (SOP) lebih berkesan.

“Kami difahamkan pihak jawatankuasa masjid di beberapa negeri sudah pun bersedia untuk melaksanakan apa jua SOP tambahan bagi mengembalikan semula syariat ibadat solat berjemaah yang sangat dituntut ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nadzim turut menggesa agamawan supaya memberi kesedaran dan kewajaran dalam mengembalikan unsur pengimarahan masjid melalui kaedah solat berjemaah yang disarankan.

“Saya meminta agar para agamawan dan alim ulama supaya tampil untuk memberi kesedaran dan kewajaran bagi menimbang secara serius solat berjemaah menurut cara yang ditetapkan iaitu dengan saf yang rapat dan tidak hanya dipertanggungjawabkan kepada Menteri Kesihatan semata-mata,” katanya.

Pada 16 Disember lalu, Khairy menjelaskan, KKM memerlukan tempoh masa beberapa minggu lagi sebelum mengeluarkan nasihat berhubung kebenaran merapatkan saf bagi jemaah di masjid.

Tempoh masa itu diperlukan untuk memantau kesan gelombang Omicron sebelum mengeluarkan nasihat berhubung isu saf di masjid.

Artikel oleh: Malaysia Post

PPIM KECEWA KEBENARAN RAPATKAN SAF MASIH BELUM DIPUTUSKAN

https://malaysiapost.com.my/2021/12/26/ppim-kecewa-kebenaran-rapatkan-saf-masih-belum-diputuskan/