Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan Biro Undang-undang serta Kad Aduan dan Guaman (KAGUM) bagi memberi khidmat nasihat guaman dan melindungi hak pengguna daripada menjadi mangsa penipuan.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pembentukan biro dibuat berikutan peningkatan kes penipuan berbentuk perjanjian terutama penipuan pelaburan.
Beliau berkata, KAGUM adalah hasil kerjasama dengan Malaysian Humanitarian Organization (MHO) yang mempunyai 25 peguam terlatih selain 100 peguam sukarela yang akan membantu menyelesaikan kemusykilan pengguna.
“Ada pengguna menjadi mangsa penipuan tidak mengetahui cara mendapatkan bantuan guaman, selain kadar upah peguam membuka fail siasatan yang tinggi, malah ada lebih tinggi berbanding kerugian pengguna akibat penipuan itu.
“Kesannya, hak mereka sebagai pengguna tidak terbela dan pihak yang menipu terus melakukan kegiatan itu,” katanya dalam majlis pelancaran KAGUM di sini, semalam.
Menurutnya, melalui biro itu pengguna boleh mendapatkan khidmat seperti menyemak status dokumen perjanjian atau pelaburan sebelum menandatanganinya, sekali gus dapat mencegah perkara lebih buruk berlaku.