Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM MAHU JAKIM PERJELAS PENARIKAN SEMULA STATUS HALAL REMPAH ALAGAPPA’S – MALAYSIA GAZETTE – 26/03/2024
27 Mar 2024

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menuntut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi penjelasan lanjut berhubung tindakannya menarik balik status halal syarikat pengeluar rempah Alagappa’s minggu lalu.

Ini kerana, tindakan tersebut telah mencetuskan keresahan kepada pengguna khususnya pengguna Islam di Malaysia.

Ketua Aktivis PPM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya amat bimbang kesan status halal kepada restoran dan pengusaha industri makanan di Malaysia.

Jakim mendakwa status halal ditarik balik berikutan syarikat itu didapati melanggar piawaian yang ditetapkan.

“Pengguna selama ini mempercayai produk Alagappa’s sebagai produk halal kini terpaksa mempertimbangkan semula pilihan mereka. Sijil pengesahan halal produk adalah penting dalam kehidupan sehari-hari umat Islam, dan pembatalan status halal oleh syarikat pengeluar rempah ini adalah satu pukulan besar terhadap kepercayaan pengguna,” katanya.

Nadzim berkata, restoran-restoran yang menggunakan produk-produk tiada sijil halal daripada Alagappa’s turut terkesan.

“Mereka (Jakim) kini perlu memastikan semula status halal mereka melalui pemeriksaan yang teliti oleh Jakim bagi memastikan kepatuhan terhadap piawaian halal yang ditetapkan.

“Apakah langkah yang akan diambil oleh Jakim selepas ini adalah penting bagi mengembalikan keyakinan pengguna Muslim terhadap status halal produk di pasaran.

“Kami berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan segera dan telus demi menjamin keselamatan serta kepercayaan umat Islam terhadap produk-produk halal di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PPIM MAHU JAKIM PERJELAS PENARIKAN SEMULA STATUS HALAL REMPAH ALAGAPPA’S

https://malaysiagazette.com/2024/03/26/ppim-mahu-jakim-perjelas-penarikan-semula-status-halal-rempah-alagappas/