“MITOS STANDARD PERANTI PERUBATAN HALAL UNTUK MENAFIKAN HAK PENGGUNA ISLAM”
1.Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius apabila mendapati ada usaha-usaha dari pihak tertentu untuk menafikan hak pengguna Islam untuk barangan Halal dalam sektor perubatan.
2. Perkembangan teknologi perubatan telah menghasilkan pelbagai peranti sebagai keperluan wajib untuk rawatan pesakit dan ini termasuk peranti perubatan yang disyakki menggunakan bahan-bahan yang haram.
3. Selaras dengan perkembangan ini dan kepekaan pengguna Islam, kerajaan Malaysia melalui Standards Malaysia telah selesai menggubal satu standard yang khusus untuk peranti perubatan Halal.
4 .Menyedari akan betapa luasnya penggunaan peranti perubatan, standard yang dihasilkan itu hanya meliputi peranti-peranti yang kritikal yang dihasilkan dari bahan-bahan organik, biologikal, kimia dan berasaskan haiwan.
5. Skop standard Peranti Perubatan Halal ini TIDAK termasuk peralatan seperti kerusi roda, katil hospital, set pembedahan, mesin X-ray dan lain-lain yang mana status Halalnya tidak diragukan langsung.
6. Standard ini juga dihasilkan hanya setelah kajian menyeluruh terhadap kesediaan para pemegang-pemegang taruh (stakeholders) dalam industri perubatan, pakar-pakar dan proses pensijilan.
7. Namun, wujud usaha menggagalkan standard ini dari pihak-pihak tertentu dari dalam dan luar Negara melalui semua saluran yang ada. Mereka mendakwa dengan kelulusan standard ini akan menjejaskan industri peranti perubatan ini dan melibatkan pertambahan kos. Mereka juga mendakwa inisiatif ini juga akan melembabkan penyelidikan dan pembangunan teknologi peranti perubatan. Tidak cukup dengan itu mereka menunjukan isyarat untuk mengugut mahu membawa pelaburan mereka ke negara lain.
8. Disamping itu, terdapat juga salah faham dari kalangan pihak penguasa agama, regulatori dan dari kalangan pengurusan tertinggi pihak berkuasa sendiri.
9. PPIM ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang pada prinsipnya telah bersetuju untuk meluluskan standard ini. Ucapan terima kasih juga ingin kami panjangkan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Usahawan yang juga memberikan sokongan dan tidak tunduk dengan tekanan-tekanan pihak-pihak ini.
10. Dengan meluluskan standard ini, Malaysia sebagai peneraju bidang Halal bakal mengorak selangkah lagi dan membuka lembaran baru dalam industri yang mempunyai saiz pasaran global sebanyak USD450 billion.
11. Dengan pensijilan Halal untuk ini akan membuka pasaran yang lebih luas untuk pengusaha-pengusaha tempatan untuk memenuhi permintaan produk perubatan Halal ini.
12. Apa yang paling penting industri ini bakal memberikan akses kepada pengguna terhadap peranti yang diyakini sebagai memenuhi tuntutan Syarak bagi umat Islam dan kami sentiasa berpegang kepada ajaran Islam yang menegaskan apa yang baik untuk umat Islam adalah baik juga untuk orang bukan Islam.
13. Kami juga telah dimaklumkan oleh Standards Malaysia bahawa penggunaan standard ini adalah sukarela dan semata-mata sebagai keputusan bisnes oleh mana-mana entiti berkaitan.
14. PPIM bersama beberapa lagi NGO lain termasuk Persatuan Perkilangan Peranti Perubatan (PERANTIM), Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia dan Persatuan Farmasi Bumiputera Malaysia lain bersama-sama bersetuju agar standard Halal untuk peranti perubatan ini dimasukkan dalam skim pensijilan JAKIM.