SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa semua agensi berkaitan agar lebih proaktif menangani isu berkaitan daging import haram.
PPIM dalam kenyataan pada Selasa berkata, agensi seperti Jabatan Perkhidmatan dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar diminta lebih berhati-hati agar isu penyeludupan daging sejuk beku tidak halal ke Malaysia tidak berulang.
PPIM mendakwa, adalah amat mengejutkan apabila tiada satu pun agensi kerajaan yang dapat mengesan aktiviti berkenaan walaupun ia merupakan satu operasi yang besar.
“Sebanyak 1,500 tan daging yang ditemui itu bukanlah jumlah yang kecil. Lebih membimbangkan adalah sama ada daging-daging sedemikian sudah lama berada di pasaran dan menjadi santapan umat Islam di Malaysia.
“Sehingga kini tiada sebarang tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa berkaitan dengan perbuatan khianat ini.
“PPIM juga mendesak agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperketatkan lagi penggunaan logo halal Malaysia dan proses pengiktirafan, verifikasi serta semua yang berkaitan dengan soal-soal pengimportan daging tersebut,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, PPIM turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan apa sahaja bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dari segi logistik, pentadbiran dan pengurusan pengimportan daging berkenaan.
“Mereka mesti dibawa ke muka pengadilan. Carilah mereka sehingga ke lubang cacing sekali pun.
“Amatlah menyedihkan ketika kerajaan berusaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab halal terulung dunia dan sebagai penjana ekonomi negara yang utama, pengkhianat berkenaan masih bermaharajalela,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan hasil risikan Maqis yang membongkar kertel menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina ke Malaysia.
Sindiket berkenaan membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.
Artikel oleh: Sinar Harian
PPIM MAHU SEMUA AGENSI BERKAITAN LEBIH PROAKTIF TANGANI DAGING IMPORT HARAM