KUALA LUMPUR, 26 Disember – PPIM amat kecewa dengan keputusan Menteri Kesihatan Malaysia yang melengah-lengahkan lagi kebenaran untuk merapatkan saf solat jemaah di masjid dan surau seluruh negara.
Alasan yang diberikan iaitu untuk menilai situasi varian terbaru COVID-19; Omicron, ialah satu alasan yang amat lemah setelah berapa jabatan agama negeri sudah pun bersedia untuk melaksanakan solat dengan kapasiti penuh serta merapatkan saf.
“Kami berharap agar YB Khairy menimbang semula keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan solat secara berjemaah yang diperintahkan oleh Allah ini dan menggariskan beberapa SOP yang lebih berkesan. Kami difahamkan pihak jawatankuasa masjid di beberapa buah negeri sudah pun bersedia untuk melaksanakan apa jua SOP tambahan bagi mengembalikan semula syariat ibadah solat berjemaah yang sangat dituntut ini”, ujar Ketua Aktivis, toqqi@Nadzim Johan.
PPIM juga menggesa para agamawan supaya memberikan kesedaran dan kewajaran dalam mengembalikan semula unsur pengimarahan masjid melalui kaedah solat berjemaah yang disarankan.
“Saya meminta agar para agamawan dan alim ulama supaya tampil untuk memberikan kesedaran dan kewajaran bagi menimbang secara serius untuk solat berjemaah menurut cara yang telah ditetapkan iaitu dengan saf yang rapat, dan tidak hanya dipertanggungjawabkan kepada Menteri Kesihatan semata-mata.” tambah beliau lagi.