PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memohon maaf kepada rakyat Malaysia khususnya polis dan angkatan tentera berhubung kenyataan yang dikeluarkan rakan strategiknya, Mohd Asri Hamid atau lebih dikenali sebagai Asri Janggut.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, kenyataan itu adalah pandangan peribadi beliau dan bukan dasar PPIM sebagai badan bukan kerajaan di negara ini.
Katanya, sejak daripada awal kontroversi isu ini, dia juga ada menasihati ahli perniagaan itu supaya menjaga tutur kata, apatah lagi ketika kes itu mendapat perhatian seluruh masyarakat Malaysia.
“Dia mungkin tidak sedar dan terlajak kata. Saya yang berada di sebelah ketika siaran langsung itu pun tidak sedar apa yang disebutkan.
“Apapun, Asri juga manusia biasa dan dia juga sudah pun memohon maaf di atas kata-katanya itu. Saya mohon rakyat Malaysia, polis dan tentera juga memaafkan dia,” katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu, Mohd Asri yang ditemui Harian Metro di satu lokasi di ibu negara mendakwa dia sangat tertekan dan meminta wartawan supaya mengambil saja video kenyataan maaf yang dibuat.
“Buat masa ini saya amat tertekan, malah saya juga sudah pindah rumah. Saya minta maaf, saya lakukan kesilapan…tidak biasa diwawancara,” katanya.
Semalam tular di media sosial kenyataan Mohd Asri mendakwa kebanyakan polis dan tentera tidak menjaga solat yang menimbulkan reaksi kurang senang banyak pihak.
Siaran langsung itu bersama Nadzim dibuat sebelum program wacana bersama sebuah media tempatan.
Artikel oleh: Harian Metro
PPIM MOHON MAAF KETELANJURAN KATA-KATA ASRI JANGGUT