Ketua Polis Negara Tan Sri Polis Khalid Abu Bakar menasihati Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) supaya mematuhi undang-undang negara dan tidak bertindak di luar batas.
Beliau mengulas tindakan PPIM yang mahu memburu pengusaha skim pajakan kereta di Seri Kembangan atas alasan bagi membela nasib pengguna yang teraniaya.
“Saya nasihatkan semua termasuk PPIM supaya mematuhi undang-undang.
“Kalau kita tak ada kuasa untuk melakukan apa juga tindakan, kita janganlah buat,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan terbaru kes tersebut.
Khalid berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Tugas Pengarah Jabatan PDRM dan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Menurut Khalid, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan terhadap kedua-dua laporan polis yang dibuat oleh PPIM dan syarikat pajakan kereta berkenaan.
“Sepertimana yang kita umumkan siasatan telah dijalankan oleh satu task force untuk melihat kedua-dua lapran polis dari kedua-dua pihak ataupun semua pihak jadi biarlah kita selesaikan siasatan itu dulu,” katanya.
Sebelum ini, PPIM didakwa menceroboh premis sebuah syarikat di Seri Kembangan dengan alasan bagi membantu pemilik kereta yang didakwa teraniaya dengan skim pajakan kereta.
Modus operandi syarikat tersebut menggunakan kaedah sambung bayar kenderaan menerusi satu perjanjian yang didakwa tidak mendatangkan sebarang nilai kepada pemiliknya.
Pemilik kenderaan dijanjikan kereta yang mereka pajak itu mempunyai penyewa dan mereka tidak akan mempunyai masalah pembiayaan dengan institusi kewangan.
Kekecohan pada 11 Julai lalu itu menjadi viral selepas video aktivis PPIM membantu mangsa mendapatkan semula kereta tersebar luas di media sosial.
Video tersebut memaparkan bagaimana aktivis PPIM berdepan dengan kakitangan syarikat terbabit melibatkan insiden perang mulut, merobohkan pagar premis dan mengambil semula kereta milik mangsa.
https://www.malaysiakini.com/news/389705