KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta penjelasan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tentang pendirian mereka terhadap isu mencampurkan vaksin Covid-19 yang berlainan jenama.
Menurut Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan@toqqi, nampak jelas bahawa pendirian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) amat berbeza dengan tindakan KKM tersebut.
“Kami di PPIM yang mewakili suara rakyat cukup khuatir mengenai perkara ini apabila Ketua Saintis WHO, Dr. Soumya Swaminathan pada 14 Julai 2021 telah memberi amaran “ia adalah trend yg merbahaya” jika kita mencampurkan vaksin Covid-19 yang diproduksi dengan kaedah berlainan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nadzim turut merujuk kepada kenyataan media Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 16 Disember 2021 yang telah disiarkan oleh Kosmo dan kemungkinan juga oleh lain-lain media lain.
Dalam kenyataan itu katanya, Khairy Jamaluddin telah menyatakan mereka yang telah lengkap dua dos dengan Sinovac dan mereka yang berusia 60 tahun ke atas perlu mendapatkan dos penggalak menjelang bulan Februari 2022.
“Sekiranya gagal berbuat demikian maka mereka akan dikategorikan sebagai tidak
divaksinasi ataupun tidak lengkap divaksinasi.
“Apabila status mereka sudah kembali menjadi tidak divaksinasi/tidak lengkap, Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa individu-individu ini akan dinafikan akses yang dinikmati oleh mereka yang telah divaksinasi dengan dos penggalak.
“Khairy Jamaluddin juga telah menyatakan dengan merujuk kepada WHO yang menasihatkan bahawa setiap individu mesti divaksinasi dengan dos penggalak tanpa
mengira jenama vaksin prima yang mereka terima sebelum ini,”katanya.
Sehubungan dengan itu, PPIM menuntut penjelasan KKM bilakah tempoh yang dihadkan oleh Menteri Kesihatan untuk status tersebut akan berkuatkuasa.
Beliau menambah, kita kini diambang bulan Februari dan perayaan Tahun Baru Cina yg akan disambut pada 1 haribulan dan 2 haribulan pada bulan tersebut.
“Kenyataan oleh Khairy Jamaluddin mengenai penetapan peraturan ini yang akan dikuatkuasakan pada Februari 2022, ini adalah sangat mengelirukan dan memerlukan penjelasan lanjut dan perlu lebih spesifik.
“Adakah sekatan di atas dan penukaran status vaksinasi individu akan berlaku secara automatik atau dikuatkuasakan pada 1 haribulan Februari atau pada 28 haribulan Februari,”katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, warga Tionghua serta seluruh rakyat Malaysia yang lain dijangka akan bergerak balik kampung selama tempoh cuti Tahun Baru Cina sehingga Chap Goh Meh pada 15 Februari yang juga merupakan sambutan yang signifikan bagi kaum berkenaan.
Justeru, bagaimanakah rakyat Malaysia boleh merancang cuti mereka dengan baik.
“Bagaimana pula bagi mereka yg telah menempah tiket pengangkutan awam? Adakah mereka dibenarkan untuk merentas sempadan? Adakah kita bakal berhadapan dengan satu
lagi lockdown?
“Kami juga mahu pihak menteri memberikan fakta-fakta saintifik dan data yang diaplikasikan oleh KKM untuk mengambil kesimpulan ini dan peruntukan undang-undang yang mana yang digunakan oleh Menteri Kesihatan untuk menguatkuasakan penukaran status vaksinasi bagi mereka yang sudah melengkapkan 2 dos menjadi tidak divaksinasi atau tidak lengkap divaksinasi?
“Kami mendesak Menteri Kesihatan memberikan jawapan segera memandangkan Tahun Baru Cina bakal tiba dalam kurang dua minggu dari sekarang,”katanya.
Artikel oleh: Bebas News
PPIM PERSOAL KOKTEL VAKSIN DAN HILANG STATUS VAKSINASI
https://bebasnews.my/2022/01/20/ppim-persoal-koktel-vaksin-dan-hilang-status-vaksinasi/