CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik langkah kerajaan dalam menangani krisis harga makanan di negara ini dengan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan kerajaan itu tepat dan amat diperlukan rakyat pada masa kini.
Beliau berkata, pihaknya berharap lebih banyak lagi langkah diambil bagi memastikan harga makanan di pasaran tempatan dapat dikawal.
“Makanan adalah asas kehidupan rakyat, apa guna ada kerajaan jika rakyat kelaparan, tidak mampu mendapatkan bahan asas untuk meneruskan kehidupan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu beliau yang lebih dikenali sebagai Toqqi turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula keperluan rakyat dan membuat keputusan yang wajar serta tidak tergesa-gesa seperti sebelum ini.
Beliau berkata, kerajaan melalui Kabinet perlu segera bertindak sebelum keadaan menjadi lebih meruncing seperti sekarang.
“Kita
lihat kerajaan kita agak terkebelakang dalam membuat keputusan, apabila keadaan
sudah amat meruncing barulah Kabinet akan bermesyuarat untuk berbincang
sedangkan isu harga makanan asas yang tinggi bukanlah perkara yang baru.
“Mungkin generasi muda negara ini tidak mengingatinya namun apabila berlaku krisis ekonomi global, perkara pertama yang terjejas adalah harga bahan api, makanan dan sebagainya termasuk kadar pengangguran semakin meningkat.
“Dua tahun dunia dikurung akibat Covid-19 takkan tidak ada seorang pun pakar ekonomi negara ini yang dapat menjangka kesannya kepada ekonomi dunia seterusnya kepada negara,” katanya.
Sementara itu, Toqqi turut menyelar pihak yang mencadangkan supaya mengurangkan pengambilan stok ayam.
Katanya, pihak berkenaan sepatutnya turun ke padang untuk melihat masalah rakyat dan tidak memberikan cadangan sedemikian.
“Jika
tak makan ayam rakyat nak makan apa? Ulat? Serangga? Ubi kayu? Untuk
pengetahuan pihak yang mungkin terlalu sibuk mengisi poket sendiri, ayam adalah
sumber protein yang paling murah berbanding produk lain seperti ikan dan
daging,” katanya.
“Jika dibandingkan harga ayam sekilo adalah RM8.90, harga ikan kembung sekilo boleh mencecah RM14 dan sekilo ikan kembung tidak mampu menampung keperluan satu keluarga.
“Nak suruh orang beli daging, sekilo paling murah pun RM15, habis tu rakyat nak makan apa, wahai yang berhormat yang bijaksana, apa lagi pilihan yang rakyat ada,” sindirnya.
Artikel oleh: Malakat Tribune
PPIM SAMBUT BAIK LANGKAH HENTIKAN EKSPORT AYAM
https://www.malakattribunenews.com/2022/05/ppim-sambut-baik-langkah-hentikan-eksport-ayam/