Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM SEDIA BANTU MANGSA – HARIAN METRO – 11/1/18
11 Jan 2018

Metro ( Kontraktor kaki auto ) 11.1.18

 

Putrajaya: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersedia menghulurkan bantuan kepada mangsa didakwa ditipu sebuah syarikat kontraktor dimiliki pasangan suami isteri yang gagal menyiapkan pemasangan kabinet sehingga menyebabkan kerugian ribuan ringgit.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran semua mangsa terbabit ke pejabat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bagi membincangkan masalah dihadapi mereka.

“Kami mengajak mangsa terbabit datang ke pejabat PPIM dan membuat laporan kepada persatuan seterusnya berbincang mengenai langkah dan tindakan boleh diambil.

“Dengan ini, kami akan mendapat maklumat lebih lanjut berhubung masalah dihadapi mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, sebelum ini, pihaknya juga pernah menerima aduan serupa berhubung penipuan kontraktor daripada mangsa lain.

Pintu ada, namun tiada meja dapur malah ada juga berdepan masalah rak di bahagaian atas tidak dipasang sedangkan semua pembayaran sudah dibuat..

Itu masalah dihadapai 15 mangsa, di sini, yang mendakwa ditipu pasangan suami isteri pemilik sebuah syarikat pemasangan kabinet dapur, almari dang kelengkapan rumah.

Semua mangsa terbabit baru saja memiliki rumah pertama di Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Presint 6, Presint 11 dan Presint 17, di sini, dan mendapatkan khidmat kontraktor terbabit berikutan harganya berpatutan dan murah berbanding ditawarkan kontraktor lain.

Kebanyakan mangsa membayar RM7,000 hingga RM10,000 berdasarkan permintaan serta pakej pemasangan dibuat di kediaman mereka.

Kakitangan awam mahu dikenali sebagai Imah, 34, berkata, sebelum membuat keputusan mengambil khidmat pemasangan kabinet dapur dengan pasangan suami isteri itu, dia membuat carian di Internet dan tidak menemui aduan atau masalah berhubung syarikat berkenaan.

“Selepas itu, saya berurusan dengan isteri lelaki terbabit dan dia menawarkan pelbagai pakej bagi pemasangan kabinet dapur dan almari seterusnya saya bersetuju membuat pembayaran.

“Pembayaran dibuat menerusi akaun wanita itu dan suaminya mengambil alih proses pemasangan kabinet di rumah,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Imah berkata, masalah bermula apabila lelaki terbabit gagal menyelesaikan semua pemasangan kabinet dapur di rumahnya apabila tidak datang seperti dijanjikan sedangkan wang dimasukkan ke dalam akaun bank.

“Saya mengambil cuti selepas dia berjanji mahu datang ke rumah membuat pemasangan kabinet dapur, namun tunggu punya tunggu dia langsung tidak muncul dan telefon serta mesej pada aplikasi WhatsApp tidak dibalas.

“Usaha menghubungi dia juga gagal kerana lelaki itu tidak menjawab panggilan termasuk isterinya yang tidak mahu memberikan kerjasama menyebabkan saya menyebarkan gambar serta aktiviti penipuan mereka di laman sosial Facebook,” katanya.

Dalam pada itu, Imah mendakwa, selepas statusnya di Facebook dikongsi pengguna media sosial, dia dimaklumkan ramai menghadapi masalah sama dengan suami isteri terbabit.

“Selepas mengumpul mangsa dalam kalangan penjawat awam yang membeli kediaman baru PPA1M Putrajaya, kami mendapat maklumat suami isteri terbabit dikatakan menipu beberapa mangsa di Perlis sebelum ini.

“Kisah penipuan kontraktor itu terhadap seorang mangsa lain juga pernah dipaparkan dalam Harian Metro pada 2014, malah saya mencari maklumat lagi dan mendapati kisah penipuan suami isteri itu di Internet,” katanya.

Kakitangan swasta, Noor Ares Fadillah Abdullah, 42, dari Bandar Nusaputra, Puchong berkata, dia dan isteri antara mangsa penipuan kontraktor terbabit pada 2009 bagi pemasangan kabinet dapur.

“Pemasangan membabitkan kos RM13,000 tetapi gagal menyiapkannya apabila meja dapur granit tidak dipasang pada kabinet, sekali gus menyebabkan saya kerugian,” katanya.

Artikel Oleh : Harian Metro

PPIM SEDIA BANTU MANGSA